Sahut hasrat Menteri Perpaduan bincang isu perkauman, Tun M patut mendamaikan tanpa bias


  • Massa
  • Rabu, 17 Jan 2024

Tun Dr Mahathir Mohamad sedia berjumpa Aaron Ago Dagang berhubung kenyataan kontroversi perkauman dibuatnya baru-baru ini. — The Star

BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sedia berjumpa Aaron Ago Dagang selepas Menteri Perpaduan Negara itu menyatakan hasrat bertemunya sebelum ini.

Ia susulan kenyataan kontroversi dibuat Dr Mahathir sebelum ini yang mendakwa 'masyarakat India tidak setia' dan telah mengundang perhatian masyarakat serta pemerhati politik tanah air di laman media.

"Saya sedia jumpa dengan Menteri Aaron Ago Dagang seperti yang dia cadang, saya harap dia datang," ciapnya di laman Twitter.

Terdahulu, Aaron dalam satu majlis Amanat Menteri Perpaduan berkata, beliau sedia bertemu Mahathir jika bekas Ahli Parlimen Langkawi itu terus meluahkan isu-isu sensitif yang boleh memecah-belahkan perpaduan antara kaum.

BACA LAGI: Sakit kena jangkitan, Tun Mahathir tetap sibuk semak fail di wad IJN

Menerusi ciapan sama, Mahathir turut mempersoalkan kewujudan parti berasaskan kaum yang wujud di negara ini.

"Yang asyik bercakap tentang ‘multiracial’ dan kritik saya berkenaan isu berkaitan kaum harus bertanya kenapa wujud parti-parti berasas kaum dalam negara ini.

"Kenapa tidak cuma wujud parti Malaysia," soalnya.

fb14

Dr Mahathir dalam satu temu bual dengan saluran berita Tamil, Thanthi TV dari Chennai, India baru-baru ini. — Facebook

Dalam pada itu, netizen di ruangan komen sebaliknya memilih untuk meredakan perbalahan antara kedua-dua pemimpin tersebut dan meminta agar Dr Mahathir sebagai tokoh negarawan yang disegani berdamai dengan isu yang melanda ketika ini.

Sultan Coco berpendapat bahawa pendamaian mampu menjadi solusi terbaik dan akan dikenangi oleh masyarakat dalam jangka masa panjang.

"Seorang negarawan sepatutnya mendamaikan tanpa 'bias', bukannya mengapi-apikan. Walaupun dia boleh kritik, tapi negarawan itu akan tetap mendamaikan seperti ibu bapa selalu damaikan anak-anak yang bergaduh.

BACA LAGI: [VIDEO] Perbualan dengan Dr. Mahathir betul, tawaran itu memang ada — Anwar

"Aku minta kalau Tun boleh buat kenyataan mendamaikan selepas ni, satu kali pun tak apa. Mana tahu, satu kenyataan yang mendamaikan itulah yang akan diingati selepas kita berpulang, janji Tun?" ciapnya.

"Salam, Tun sendiri pun boleh tunjuk teladan yang sama. Kenapa tidak," kata Nenas Nazri.

Untuk rekod, Dr Mahathir dalam satu temu bual dengan saluran berita Tamil, Thanthi TV dari Chennai, India baru-baru ini berkata, masyarakat India tidak setia kepada Malaysia kerana 'masih terikat dengan negara asal'.

Jelasnya, orang India di Malaysia mesti ingat mereka ialah rakyat Malaysia lebih daripada pendatang.

Ditanya sama ada ini bermakna orang India di Malaysia harus berasimilasi sepenuhnya dan 'menjadi Melayu', beliau bersetuju dengan pendapat itu.

Kenyataan tersebut kemudiannya mengundang kritikan pelbagai pihak termasuk pemimpin Perikatan Nasional (PN). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram