Tak bertindih subjek Bahasa Arab, Jakim umum tarikh baharu ujian KAFA Sirah


  • Primer
  • Rabu, 17 Jan 2024

Ujian kertas Sirah UPKK03/01 ditangguh ke Selasa depan atas faktor kesalahan teknikal yang berlaku. — Gambar hiasan

CALON Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) (UPKK) dikejutkan dengan pembatalan bagi kertas subjek Sirah yang terpaksa ditangguhkan ke 23 Januari (Selasa) depan ekoran isu teknikal yang berlaku.

Ujian itu yang sepatutnya dijadualkan berlangsung pada Selasa ini, difahamkan telah berlaku sedikit kesulitan yang sekali gus memaksa pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menangguhkan subjek tersebut.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Hakimah Mohd Yusoff, dalam satu kenyataannya memaklumkan penangguhan ujian bagi kertas Sirah UPKK03/01 itu atas sebab isu teknikal yang tidak dapat dielakkan.

BACA LAGI: 'Mansuh Ujian Mendengar SPM', ada sebab pakar bahasa saran perbaiki format peperiksaan

"Jakim memohon maaf atas kesulitan ini dan berdoa agar semua calon UPKK di seluruh negara dapat memberi tumpuan yang sepenuhnya kepada ujian yang sedang berlangsung.

"Semoga semuanya mendapat kejayaan yang cemerlang," katanya.

Di ruangan komen rata-rata ibu bapa pelajar tampil memohon agar tarikh penangguhan itu dilangsungkan pada 24 Januari (Rabu) kerana berlaku penindihan subjek pada hari yang ditetapkan Jakim.

Tambahan itu, menurut pelajar, ujian subjek Bahasa Arab yang akan dijalankan pada Selasa depan merupakan mata pelajaran yang paling sukar dan memerlukan daya tumpuan tinggi untuk menduduki kertas tersebut.

BACA LAGI: KPM nafi pelontar suara UMBI SPM 2022 milik TikTokers

"Mohon Jakim tunda tarikh 24 hari bulan untuk subjek Sirah, 23 hari bulan adalah mata pelajaran Bahasa Arab, ia sangat berat dan sukar buat pelajar jadi mereka perlu fokus lebih," kata Ros Diana.

"Hari Selasa depan ada kertas Bahasa Arab, anak-anak sahaja yang tahu betapa subjek itu sangat berat, jadi jangan dibebankan lagi dengan ujian Sirah, terbeban budak-budak nanti," ujar Rahamsiah Jah.

Terbaharu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar menerusi kenyataannya mengumumkan penangguhan tarikh bagi ujian subjek Sirah selepas menerima banyak tentangan daripada pelbagai pihak.

"Susulan keputusan dan kenyataan tersebut, pihak Jakim telah menerima banyak aduan dan keluhan dari ibu bapa calon-calon UPKK yang bimbang akan kemampuan anak-anak mereka melalui dua ujian dalam masa satu hari pada 23 Januari 2024.

"Atas rasa keprihatinan dengan keluhan dan aduan tersebut, saya telah mengarahkan supaya JAKIM menetapkan ujian bagi mata pelajaran Sirah dibuat pada 24 Januari 2024 (Rabu).

"Semoga dengan keputusan ini dapat meredakan keluh kesah dalam kalangan ibu bapa serta calon dapat memberi tumpuan sepenuhnya terhadap ujian yang sedang berlangsung bermula 16 Januari 2024," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram