[VIDEO] Angkara bergaduh, lelaki nekad terjun lepas tertolak teman wanita sampai terjatuh Jambatan P.Pinang


  • Tular
  • Isnin, 15 Jan 2024

Tangkap layar seorang lelaki nekad terjun lepas tertolak teman wanitanya sampai terjatuh Jambatan Pulau Pinang pada Isnin.

SEORANG lelaki nekad terjun lepas dilaporkan tertolak teman wanitanya sampai terjatuh Jambatan Pulau Pinang pada Isnin.

Melalui maklumat awal yang dikongsikan warga maya, kedua-dua pasangan tersebut dilihat bergaduh mulut terlebih dahulu sebelum lelaki berkenaan didakwa secara tidak sengaja menolak kekasihnya itu sehingga terjatuh dari jambatan tersebut.

"Kejadian petang tadi (Isnin), di atas jambatan Pulau Pinang. Info kata lelaki dan perempuan bertengkar dan lelaki itu tolak mangsa jatuh ke bawah sebelum dia pula terjun.

"Geng motosikal nampak kejadian itu," menurut maklumat yang dikongsikan itu.

BACA LAGI: [VIDEO] Teman wanita dakwa ditolak kekasih jatuh jambatan P.Pinang, polis siasat cubaan bunuh

BACA LAGI: [VIDEO] Demi menuntut ilmu, pelajar sanggup redah becak, banjir di Sabah

Pada masa sama, tular video memaparkan kereta dan lokasi kejadian kedua-dua pasangan kekasih tersebut dilihat bertengkar sesama sendiri.

Orang awam turut mengerumuni tempat tersebut dan turut tular satu video memaparkan seorang lelaki terapung menunggu untuk diselamatkan di lokasi kejadian.

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Perai, Pegawai Bomba Kanan II, Shahrul Munawer Taharen berkata, bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 7.49 malam.

"Kejadian berlaku di Kilometer 2.8 Jambatan Pulau Pinang dari pusat bandar ke Perai.

"Kedua-dua mangsa yang berusia lingkungan 30-an menaiki sebuah kereta Honda Civic dan dikatakan telah bertengkar.

"Pertengkaran itu berlarutan sehingga di kawasan hentian di atas jambatan. Akibat daripada pertengkaran itu, kedua-dua mangsa telah terjatuh ke dalam laut. Ketika itu, ada seorang lelaki di lokasi kejadian telah terjun untuk menyelamatkan mangsa," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambah Shahrul Munawer lagi, pada masa yang sama, sebuah bot nelayan turut berada di lokasi mangsa terjatuh.

"Kedua-dua mangsa telah diselamatkan oleh orang awam (lelaki terbabit) yang terjun itu. Lelaki berkenaan telah membawa mangsa untuk naik ke atas bot nelayan yang lalu dibawa ke Jeti Batu Uban.

"Kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Operasi ditamatkan pada pukul 8.35 malam," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram