SATU kemalangan maut dilaporkan berlaku di Jambatan Pulau Pinang, George Town, Pulau Pinang melibatkan sebuah lori dan motosikal serta tiga lagi kereta pada awal pagi Sabtu.
Difahamkan, mangsa maut adalah dua individu yang menaiki motosikal terlibat.
Menerusi maklumat awal dikongsikan orang awam di media sosial, kejadian tersebut didakwa berpunca daripada sebuah kereta yang dipercayai dipandu secara laju dan berbahaya, dipercayai berlumba.
Menerusi ruangan komen di TikTok, dua mangsa menaiki motosikal yang maut dalam insiden terbabit dipercayai merupakan pasangan tunang. Identiti sebenar kedua-dua mangsa begitupun masih belum dikenal pasti.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, impak kemalangan itu menyebabkan dua mangsa iaitu seorang lelaki dan wanita berusia awal 20-an maut selepas dilanggar sebuah kereta yang dipandu seorang remaja lelaki berusia 16 tahun di lokasi kejadian.
"Suspek cedera ringan manakala pemandu lori tidak cedera. Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila remaja lelaki warga tempatan yang datang dari arah Pulau menuju Perai disyaki telah melanggar bahagian belakang sebuah lori.
"Susulan pelanggaran itu, kereta yang dipandunya hilang kawalan sebelum melanggar motosikal yang ditunggang lelaki dan pembonceng wanita warga tempatan yang menyebabkan kedua-duanya parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Seberang Jaya (HSJ), Pulau Pinang untuk proses bedah siasat.
Cheng San berkata, pemandu kereta direman sehari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Polis meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian tampil membantu siasatan. Maklumat boleh disalurkan kepada mana-mana balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Muhammad Sufi Abd Razak di talian 013-4774542 atau 04-5382222," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram