[VIDEO] Warga asing kopak bumbung rumah, larikan barangan berharga lebih RM17,000 di Ampang Jaya


  • Tular
  • Ahad, 14 Jan 2024

Tangkap layar seorang lelaki dipercayai warga Rohingya memecah masuk sebuah kediaman melalui bumbung di Ampang Jaya, Gombak, Selangor pada Sabtu.

SEORANG lelaki dipercayai warga Rohingya dirakam merompak dan memecah masuk sebuah kediaman di Ampang Jaya, Gombak, Selangor pada Sabtu.

Kejadian yang dikatakan berlaku kira-kira pukul 11 pagi itu menyaksikan individu berbaju hitam dan berseluar biru tersebut menceroboh masuk melalui bumbung sebelum menggeledah masuk ke dalam bilik untuk mencuri.

Tidak dibantu sesiapa, perbuatan itu dilakukan secara sendirian dan pelaku dilihat membawa telefon pintar bersamanya ketika kejadian.

Dirakamkan menerusi kamera litar tertutup (CCTV), beberapa barangan berharga seperti jam tangan, telefon pintar dan barang kemas difahamkan telah dilarikan individu berkenaan.

BACA LAGI: [VIDEO] Dipercayai curi telefon, duit RM700, warga Rohingya berikat kaki dan tangan kena 'sidai' seharian di tepi jalan

Menurut mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Shah, 33, dia dan keluarganya baru sahaja berpindah ke rumah tersebut pada seminggu yang lalu dan sangat bersedih atas insiden yang menimpa dirinya.

Jelasnya, dia mengalami kerugian hampir RM17,000 akibat daripada kecurian tersebut dan menggesa agar individu yang mengenali suspek tampil menyalurkan maklumat kepadanya.

"Saya baru sahaja seminggu berpindah ke sini dan dirompak, ramai kata suspek warga Rohingya kalau dilihat pada pemakaian dan susuk wajah dia nampak macam bukan orang tempatan.

"Barang kemas, wang tunai dan jam tangan antara yang dicuri, kos kerugian saya anggarkan lebih RM17,000 kesemuanya.

"Saya tahu barang yang hilang tak akan kembali tetapi sekurang-kurangnya pencuri itu dapat ditangkap supaya tak pecah masuk rumah orang lain pula lepas ini," katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: 'Beri kami Selayang', ibarat kaduk naik junjung, warga Rohingya tuntut hak sama rata

photo_2024-01-14_17-04-38

Pencuri didakwa memecah masuk melalui atap bumbung kediaman mangsa. — Facebook

Dalam pada itu, bapa kepada seorang anak itu turut mendedahkan kejadian mencurigakan yang berlaku sehari sebelum kejadian di mana seorang lelaki tempatan secara tiba-tiba datang ke rumahnya dan bertanya pelbagai soalan berkaitan latar belakang dirinya.

"Malam sebelum hari kejadian, ada seorang lelaki datang bertanya macam-macam soalan seolah-olah mahu menyelidik sesuatu, dia tanya alamat rumah, nombor kediaman dan sebagainya tetapi saya tak layan.

"Mungkin juga ada kaitan dengan kes rompakan yang berlaku tetapi selebihnya saya serahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut," katanya yang mendakwa pencuri seolah-olah tahu rumah yang ada laluan nak turun bawah dari siling.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Azam Ismail berkata, kejadian dipercayai berlaku semasa mangsa keluar berniaga di sekitar Jalan Ampang, Kuala Lumpur dan meninggalkan rumah mereka pukul 10 pagi.

"Sekitar pukul 3 petang semasa mangsa pulang daripada berniaga dan masuk ke rumahnya mendapati ruang tamu dalam keadaan berselerak dan pintu bilik utama terkunci dari dalam.

"Menggunakan kunci pendua mangsa berjaya masuk ke dalam bilik berkenaan dan mendapati barangan dalam keadaan berselerak dan siling terbuka," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Katanya, suspek dipercayai memecah masuk melalui bumbung dan masuk melalui siling rumah ke dalam rumah.

"Mangsa mendapati beberapa barangan berharga miliknya hilang antaranya barangan kemas bernilai RM7,000 dan wang tunai RM2,500.

"Pihak polis memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini, untuk menghubungi balai berdekatan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram