[VIDEO] Syirik atau sesat? 4 aktiviti 'aneh' di tanah perkuburan Islam cetus pertikaian masyarakat


  • Massa
  • Ahad, 14 Jan 2024

Tangkap layar beberapa kejadian aneh pernah berlaku di tanah perkuburan Islam negara sebelum ini.

UMUM mengetahui adab dari segi pemakaian dan pergaulan yang perlu dipatuhi sekiranya menziarah ke tanah perkuburan Islam.

Namun, kebelakangan ini, ada beberapa kejadian aneh di tanah perkuburan berlaku dan tular hingga mendapat liputan meluas di laman sosial susulan aktiviti yang didakwa berkait rapat dengan perbuatan syirik ataupun ajaran sesat.

BACA LAGI: Dakwa Nabi Muhammad sebagai Tuhan, MKI sahkan fahaman SiHulk ajaran sesat

Segelintir masyarakat mendakwa amalan khurafat masih wujud dalam kalangan penduduk pada hari ini yang sekali gus menguatkan lagi persepsi negatif terhadap insiden yang pernah berlaku sebelum ini.

Berikut merupakan empat senarai kes aneh yang berlaku di tanah perkuburan Islam Malaysia.

cabut

1. Sembilan batu nisan tercabut di Labuan

Sebanyak sembilan batu nisan ditemukan tercabut di Tanah Perkuburan Islam Jagus dekat Saguking, Labuan, Sabah pada Oktober tahun lalu.

Penemuan itu menggemparkan penduduk apabila ia didakwa merupakan perbuatan vandalisme individu tidak bertanggungjawab di kawasan tersebut.

Masyarakat setempat turut bersedih akan kejadian itu dan menyifatkan pelaku sebagai individu tidak waras kerana sanggup melakukan perkara keji tersebut.

Polis Labuan mengesahkan kejadian itu dan telah menjalankan pemeriksaan di kawasan sekitar namun masih belum ada sebarang tangkapan dibuat berhubung kes berkenaan.

kenali

2. Berzikir sambil menari di Makam Tok Kenali, Kota Bharu

Kecoh apabila satu rakaman tular memaparkan sekumpulan lelaki berjubah putih berzikir sambil menari di makam Tok Kenali, Kota Bharu, Kelantan pada siang hari.

Kejadian pada Ogos lalu itu mencetuskan perbualan hangat dalam kalangan netizen yang mendakwa ia merupakan ajaran sesat daripada kumpulan yang mengamalkan acara pemujaan di lokasi terbabit.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad dalam kenyataan berkata, hal itu bukan amalan umat Islam di negeri terbabit.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Berzikir di perkuburan biasa, tapi tak pernah dibuat orang kalau sampai menari ' — Mufti Kelantan

Jelasnya, apa yang dipaparkan di dalam video itu adalah perbuatan di luar kebiasaan dan agensi berkaitan seperti pihak berkuasa agama negeri perlu menjalankan siasatan secara terperinci supaya ia tidak berleluasa.

Media melaporkan, cicit kepada Tok Kenali, Muhammad Hafiz Hukmi Wardi menegaskan aktiviti berzikir sambil menari seperti dalam rakaman tersebut bukan ajaran ulama terkenal itu.

Katanya, perkara terbabit juga tidak mempunyai kaitan dengan Pondok Tok Kenali termasuk kerajaan negeri Kelantan dan van yang dipercayai membawa kumpulan berkenaan juga menunjukkan nombor pendaftaran daripada negara jiran, Thailand.

conteng

3. Lelaki conteng kubur di Bintulu

Beberapa buah batu nisan di Tanah Perkuburan Islam Kemunting, Jalan Sebiew, Bintulu, Sarawak diconteng dengan pen dakwat berwarna pada Julai lalu.

Hasil siasatan polis mendapati, seorang suspek warga tempatan berusia 40 tahun ditahan susulan aduan diterima daripada orang ramai.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Batholomew Umpit berkata, sebanyak 41 kubur telah dicat dengan tulisan berwarna biru manakala 10 lagi disembur dengan tulisan warna merah.

Suspek direman selama tiga hari bermula 25 sehingga 28 Julai 2023 untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 297 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun, denda atau kedua-duanya sekali.

UDANG

4. Memancing udang di tanah kubur Mersing

Terbaharu, perbuatan sekumpulan lelaki yang sakan menjala ikan di sebuah tanah perkuburan Islam dekat Mersing, Johor pada Sabtu dikecam warga maya.

Berseluar pendek dan berpakaian kurang sopan, keriuhan individu terbabit dikatakan langsung tidak menghormati jenazah di kawasan perkuburan tersebut.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor menyifatkan perbuatan itu sebagai tidak menghormati tanah perkuburan Islam.

Tegasnya, hukum mengambil sesuatu tanpa izin adalah haram dan individu berkenaan perlu terlebih dahulu meminta kebenaran daripada pemilik kolam tersebut sebelum menjala di situ.

"Haram hukumnya kalau ambil dan makan sesuatu yang bukan milik kita, kalau dapat keizinan daripada pemilik baru boleh ambil.

"Aktiviti menjala di kawasan kubur itu pun sememangnya tidak sepatutnya dilakukan, tetapi jika udang itu melimpah dari kawasan sungai maka harus mereka mengambilnya dengan syarat perlu menghormati jenazah.

"Selidik dulu sebelum tangkap kalau tidak hukumnya haram bagi mereka yang terlibat di situ," katanya kepada Majoriti.

Situasi itu dipercayai berlaku selepas kolam udang bersebelahan tanah perkuburan berkenaan melimpah keluar akibat hujan lebat yang melanda daerah terbabit sehari sebelum kejadian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram