[VIDEO] 'Berzikir di perkuburan biasa, tapi tak pernah dibuat orang kalau sampai menari ' — Mufti Kelantan


  • Tular
  • Rabu, 23 Ogos 2023

Tangkap layar video tular memaparkan sekumpulan lelaki sedang berzikir dengan cara agak luar biasa di Makam Tok Kenali yang terletak di Kota Bharu Kelantan.

JABATAN Hal Ehwal Islam Negeri Kelantan diminta supaya melakukan siasatan terhadap kes tular membabitkan tindakan sekumpulan individu melakukan zikir dengan cara luar biasa di Makam Tok Kenali, yang terletak di Kota Bharu Kelantan.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, meskipun amalan zikir di perkuburan adalah dibenarkan dalam Islam, tindakan melakukannya dengan gerakan yang melampau merupakan satu perbuatan yang luar daripada kebiasaan.

"Berzikir di perkuburan ini biasa, tapi kalau ada tari menari-menari itu agak luar biasa. Jadi ini perlu diteliti bawaan (ajaran) daripada mana itu," katanya ketika dihubungi Majoriti.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Kelantan supaya menyiasat kes tersebut.

Mengulas lanjut, Mohamad Shukri berkata, secara umumnya amalan berzikir termasuk bertahlil dan membaca al-Quran di tanah perkuburan merupakan perbuatan yang dihukumkan sebagai harus.

Bagaimanapun, beliau berkata, tindakan berzikir dengan pergerakan meskipun dibenarkan dalam Islam adalah tidak sesuai untuk dilakukan di tempat sedemikian.

"Sebab zikir (secara) pergerakan ini ada tempat-tempat contohnya di surau atau di masjid itu yang membenarkan.

"Tetapi kalau di perkuburan ini saya ingat ia adalah sesuatu yang tidak pernah dibuat orang dan agak janggal," jelas beliau.

Beliau berkata demikian ketika diminta untuk mengulas mengenai video tular sejak Rabu memaparkan sekumpulan lelaki sedang berzikir dengan cara agak luar biasa sehingga menimbulkan perdebatan dalam kalangan masyarakat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram