Dakwa Nabi Muhammad sebagai Tuhan, MKI sahkan fahaman SiHulk ajaran sesat


  • Primer
  • Jumaat, 21 Jul 2023

Tangkap layar video memaparkan beberapa individu yang mempercayai ajaran bahawa Nabi Muhammad SAW adalah ALLAH SWT.

JAWATANKUASA Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) kali ke-11 yang bersidang pada 25 hingga 29 Ogos 2020 memutuskan bahawa ajaran dan fahaman yang dibawa Suhaini Mohammad atau SiHulk sebagai sesat, menyeleweng daripada ajaran Islam berdasarkan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai dua video tular memaparkan beberapa orang individu mengeluarkan kenyataan dan ungkapan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Beliau menerusi satu kenyataan pada Jumaat memaklumkan, mereka dipercayai pengikut ajaran yang dibawa oleh SiHulk.

"Kedua-dua video tersebut menjadi tular di media sosial. Individu dalam kedua-dua video tersebut menyatakan mereka menyokong fahaman yang dibawa oleh Suhaini Mohammad atau SiHulk.

"Salah satu video yang kembali menjadi tular tersebut dimuat naik melalui akaun Facebook Nurul Sakinah yang bertajuk 'Nabi Muhammad itu adalah ALLAH'.

"Bagaimanapun, setakat Khamis, akaun tersebut tidak lagi dapat diakses. Antara akaun Facebook yang turut dikesan memuat naik kedua-dua video tersebut adalah akaun bernama nama Iffat Muhammad," katanya pada Jumaat.

Dalam pada itu, Mohd Na'im berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyalurkan maklumat mengenai ajaran dan kegiatan kumpulan SiHulk kepada pihak Jabatan Agama Islam Negeri (Jain), antaranya Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) untuk tindakan penguatkuasaan.

Katanya, Jakim turut diarahkan diarah untuk bekerjasama rapat dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk membanteras ajaran sesat berkenaan dan menyeru mana-mana pihak yang mempunyai apa-apa maklumat berkaitan kumpulan ajaran sesat berkenaan tampil membuat laporan kepada pihak-pihak terbabit.

"Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menasihati supaya umat Islam tidak terlibat dan menjauhi daripada penyebaran ajaran sesat tersebut.

"Mana-mana orang yang didapati terbabit dalam kesalahan yang berhubungan dengan kesucian agama Islam seperti penyebaran ajaran sesat boleh dikenakan tindakan mengikut Akta atau Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri-Negeri.

"Kerjasama semua pihak dalam isu-isu seperti ini dapat membantu menanganinya dengan lebih berkesan dan dapat menjaga akidah umat Islam dari terpesong terutamanya kesan daripada tularnya fahaman yang menyeleweng melalui media sosial.

Pada Khamis, Majoriti melaporkan pihak berkuasa agama Islam diminta mengambil tindakan segera terhadap beberapa lelaki dan wanita, dipercayai daripada sebuah keluarga, yang mengisytiharkan kepercayaan karut mereka bahawa Nabi Muhammad SAW adalah ALLAH SWT.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Mohd Salim Wan Mohd Noor berkata, tindakan mereka dalam video yang tular di media sosial jelas menunjukkan satu lagi ajaran sesat dan ia perlu dilurus serta dibendung supaya tidak tersebar dalam kalangan masyarakat Islam di negara ini. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram