Calon fakulti mahu beri deodoran percuma atasi bau badan pelajar dapat sokongan penuh


  • Tular
  • Sabtu, 13 Jan 2024

Seorang mahasiswa menjanjikan pengagihan deodoran kepada pelajar dalam manifesto Pilihan Raya Kampus Universiti Malaysia Sabah.

MANIFESTO seorang calon mahasiswi dalam Pilihan Raya Kampus Universiti Malaysia Sabah (UMS) hangat diperkatakan di laman media.

Menjanjikan pengagihan pewangi deodoran bagi pelajar yang mempunyai masalah bau badan sekiranya memenangi pilihan raya tersebut, perkara itu meraih pujian ramai susulan kelainan dan elemen 'sindiran' yang dimainkan dalam manifesto dibuat pelajar berkenaan.

Siti Nur Asyerra Wasli merupakan pelajar dari jurusan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan dan bertanding bagi kerusi calon 06 untuk merebut tempat selaku ketua pelajar di UMS bagi sesi 2024.

Turut menyenaraikan janji memperkasakan sistem Mentor-Mantee pelajar dalam manifesto keduanya, Siti Nur Asyerra atau lebih dikenali sebagai Ara dikatakan antara calon terbaik untuk dilantik sebagai pemimpin baharu di universiti terbabit.

BACA LAGI: Mahasiswa tampil mohon maaf, khilaf tuduh universiti tidak sediakan makanan untuk pelajar

deoo

Siti Nur Asyerra Wasli menyenaraikan dua perkara dalam manifesto Pilihan Raya Kampus di UMS. — Facebook/Suara Mahasiswa UMS

Manifesto berkaitan pengagihan deodoran itu nyata mendapat pelbagai komen positif di laman media dan ia dipercayai berkait rapat dengan isu bekalan air yang berlaku di UMS baru-baru ini.

Sufyan Hadiyanto Dimanto memuji kebijaksanaan gadis berbangsa Dusun itu dalam membangkitkan isu deodoran dalam kalangan pelajar di samping masalah air yang membelenggu penuntut di universiti terbabit.

BACA LAGI: Masalah air di UMS masih belum selesai, LRA Telibong 2 Fasa 2 antara jawapan atasi krisis berpanjangan

"Bijak dan tahniah anak muda, anda berbakat menjadi wakil rakyat di masa hadapan, manifesto anda menunjukkan ciri-ciri wakil rakyat yang berjaya.

"Cara anda mengatasi masalah mahasiswa berbau badan sebab tak mandi kerana tiada air dengan memberi deodoran itu memang ciri-ciri pemikiran seorang yang berhormat. Tolong bagi dia borang parti," katanya.

"Manifesto dia macam lucu, tapi bagi impak besar untuk golongan yang berkenaan," ujar Joe Alonzo.

"Tahniah Ara, cadangan yang baik kerana masalah bau badan bukan perkara remeh, tetapi ia isu nasional," jelas Harith Ariffin.

"Saya sokong, daripada janji kasi selesai masalah air yang tidak berkesudahan, baik selesaikan isu bau ketiak kerana ramai yang ada masalah ini tetapi tidak sedar," tambah Oyo Vianney Chelsca.

Sementara itu, seorang alumni dari universiti tersebut, Jeffery Jim turut memuji dan mencadangkan agar mahasiswi terbabit diberikan sokongan atas kebijaksanaannya dalam menyenaraikan manifesto yang menurutnya, sangat bijak dan berkaliber.

WhatsApp Image 2024-01-13 at 10.03.12

"Sebagai alumni UMS yang menamatkan kedua-dua ijazah sarjana di FPEP dan Fakulti Sains Sumber Asli (FSSA), saya memberikan sokongan penuh kepada calon ini. Kedalaman sindirannya selari dengan kemampuannya ketika berdepan dengan isu air yang melanda universiti.

"Memandangkan saya mengenali Timbalan Naib Canselor secara peribadi, berharap agarbeliau akan menghargai calon yang berkaliber ini. Megah. Perfecto! Saya sokong.

"Jika anda mengenalinya secara peribadi, sampaikan kesediaan saya untuk melatihnya menjadi seorang pemimpin yang baik dan memperbaiki sistem bimbingan," katanya.

Terdahulu, masalah bekalan air yang membelenggu warga Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan sekitarnya dijangka selesai selepas kerja paip utama bagi menyalurkan air tambahan dari Loji Rawatan Air (LRA) Telibong 2 di Tuaran, Sabah siap.

Menurut laporan media, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Shahelmey Yahya sudah mengarahkan pihak kontraktor untuk menyiapkan segera kerja berkenaan sebelum akhir Januari ini.

Katanya, penyiapan kerja di paip utama itu dijangka dapat meredakan isu kekurangan bekalan air di UMS dan kawasan sekitar memandangkan LRA Telibong 2 Fasa 2 (T2P2) yang ditunggu selama ini sudah siap dan memulakan operasi sejak awal Disember lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram