SEORANG ibu berkongsi kisah duka apabila dua anaknya didakwa mengalami kesan luka akibat kes penderaan di sebuah rumah pengasuh dekat Kulai, Johor baru-baru ini.
Menurutnya, kejadian itu berlaku pada hari pertama anak-anaknya dihantar ke rumah pengasuh terbabit dan alangkah terkejutnya dia apabila menyedari akan kesan gigitan di belakang badan bayinya yang baru sahaja berusia enam bulan.
Seorang lagi anaknya yang merupakan abang kepada bayi itu, turut mengalami kecederaan di bahagian pipi dipercayai ditampar pengasuh berkenaan.
Nurhidayah Jamil menerusi hantarannya di laman Facebook pada Ahad, menceritakan kronologi kejadian yang menimpa anak-anaknya.
BACA LAGI: [VIDEO] Lagi kes dera, pengasuh wanita didakwa tekup, tampar budak di taska Batu Caves
"Hari pertama di rumah pengasuh berakhir dengan tragedi perit bagi aku, bayi Luth yang baru berusia enam bulan digigit oleh anak pengasuh lebih lapan gigitan sehingga terkoyak kulit berdarah-darah di baju.
"Abang Nuh pula ada kesan lempang berbirat jari orang dewasa di muka dan sampai sekarang masih trauma sampai demam, dia sendiri saksi nampak adik dia kena gigit.
"Doakan Luth dan Nuh cepat sembuh luka, demam dan trauma, rawatan dan laporan polis telah dibuat, doakan semuanya dipermudahkan dan anak-anak cepat sembuh," katanya dalam hantaran tersebut.
Kesan luka dialami kedua-dua anaknya didakwa akibat kesan dera di rumah pengasuh berkenaan. — Facebook
Dalam pada itu, Nurhidayah Jamil turut mendedahkan bahawa pengasuh berkenaan hanya meminta maaf atas kejadian itu dan memberikan wang tunai sebanyak RM50 bagi kos rawatan serta ubat-ubatan anaknya.
Ia sekali gus mencetuskan perbalahan dan kecaman netizen yang menggesa agar pelaku segera ditangkap serta dikenakan tindakan undang-undang.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Nor berkata, pihaknya menerima laporan daripada ibu mangsa pada 10 Januari lepas.
"Hasil siasatan mendapati pengasuh merupakan seorang perempuan tempatan berusia 20-an telah dikenal pasti dan akan dirakam percakapan bagi membantu siasatan," katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1) A Akta Kanak-Kanak 2001. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram