[VIDEO] Lagi kes dera, pengasuh wanita didakwa tekup, tampar budak di taska Batu Caves


  • Tular
  • Jumaat, 02 Jun 2023

Tangkap layar seorang pengasuh wanita dirakam mendera kanak-kanak di sebuah taska dekat Batu Caves, Gombak, Selangor.

SEORANG pengasuh wanita dirakam berkelakuan kejam terhadap kanak-kanak di sebuah taska dipercayai dekat Batu Caves, Gombak, Selangor baru-baru ini.

Dalam satu video tular dimuat naik di laman Twitter pada Jumaat, memaparkan perbuatan wanita terbabit yang dilihat beberapa kali menampar dan menekup muka seorang budak di taska tersebut.

Difahamkan, ibu bapa kanak-kanak malang itu diberitahu kononnya anak mereka mengalami kesan lebam akibat dicederakan budak lain.

Namun, menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di taska berkenaan membongkarkan situasi sebenar apabila pengasuh di situ didakwa melakukan penderaan terhadap budak terbabit.

Dalam video berdurasi 1 minit 32 saat itu memaparkan kanak-kanak tersebut ditampar dan ditekup dengan kain di muka sebelum ditinggalkan dalam keadaan menangis.

Namun, belum ada sebarang kenyataan polis berhubung kes tular berkenaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut diminta hadir ke balai berhampiran untuk membuat laporan.

Terdahulu, satu kes penderaan bayi turut dilaporkan berlaku di sebuah taska dekat Mutiara Rini, Johor Bahru, Johor susulan kelakuan kejam seorang pengasuh wanita terhadap bayi berusia 11 bulan dan bayi lelaki berusia sembilan bulan pada Mei lalu.

Wanita yang juga pengasuh taska swasta berusia 21 tahun itu ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh dihukum maksimum 10 tahun penjara, denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram