AGAK mengecewakan apabila tahun baharu 2024 yang baru masuk hari ke-11 disajikan dengan berita kurang enak membabitkan golongan pelajar universiti di Sabah yang tidak dapat ke kuliah kerana masalah air berlarutan yang dihadapi sejak Mei tahun lalu.
Laporan media menyebut kira-kira 20,000 warga Universiti Malaysia Sabah (UMS) berdepan dengan krisis air berikutan bekalannya di kampus amat terhad.
Krisis tersebut sekali gus memberi kesan sehingga menyebabkan mereka terpaksa menggunakan air secara sedikit ketika mandi.
Lebih teruk lagi, ada di antaranya yang sanggup tidak mandi hingga berhari-hari sejak masalah itu berlaku pada Mei 2023.
BACA LAGI : Isu bekalan air: UMS adakan mesyuarat Jumaat
Masalah gangguan bekalan air di UMS berlarutan sejak Mei tahun lepas. — Gambar hiasan
Selepas itu, Caretaker Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMS, Mohd Dhan Dhan Farsaudi dilaporkan berkata, bekalan air dari sumber paip Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) bersama yang dihantar dengan lori turut tidak mencukupi bagi jumlah sekitar 6,000 hingga 7,000 pelajar di UMS.
Situasi itu memang memeritkan pelajar dan mereka sangat berharap ia dapat diatasi segera demi keselesaan menjalani kuliah seperti biasa.
Melihat kepada punca masalah, ia berlaku di UMS dan kawasan sekitarnya berikutan kekurangan bekalan dari Loji Rawatan Air (LRA) Telibong di Tuaran berikutan peningkatan permintaan berbanding bekalan.
Raman Noordin menyatakan punca masalah tersebut adalah daripada bekalan air yang tidak cukup.
Perkara itu pernah diakui Timbalan Naib Canselor, Profesor Madya Dr. Raman Noordin yang sebelum ini dilaporkan berkata, masalah bekalan air yang dihadapi universiti terbabit turut dirasai secara menyeluruh oleh penduduk Sabah di sekitar kawasan Tuaran, Tamparuli, dan Sepanggar.
"Ia memandangkan loji yang membekalkan air terawat di kawasan-kawasan ini iaitu LRA Telibong, Tuaran hanya mampu menghasilkan bekalan air terawat sekitar 164 juta liter sehari (MLD) berbanding keperluan sebenar sebanyak 190 MLD," katanya dalam satu kenyataan pada 12 Mei 2023.
Namun, sehingga kini masalah itu dilihat masih belum reda sehingga membangkitkan kemarahan penduduk setempat.
Ia sekali gus menimbulkan pelbagai spekulasi dan persoalan terhadap peruntukan yang diberikan kepada pihak UMS untuk mengatasi masalah itu.
BACA LAGI : UMS sahkan tangki air kolej KKTPAR tercemar, tak jejas sumber air utama pelajar
Hal ini kerana, pada 31 Mei 2023, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM3 juta kepada universiti berkenaan untuk menyelesaikan masalah itu termasuk menggunakan sumber air bawah tanah, tuaian air hujan dan air bukit.
Manakala, pada Januari 2024 pula, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dilaporkan telah menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM2 juta kepada UMS bagi mengatasi isu itu.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir turut memaklumkan bahawa peruntukan tambahan itu diperlukan khusus untuk kawasan yang mempunyai sumber air, tetapi tidak boleh dipam naik ke kawasan tinggi di asrama berkenaan.
Penambahan itu dikatakan antara usaha menangani masalah tersebut termasuk memasang pam air, selain menggunakan tenaga pakar di UMS untuk mencari inisiatif lain supaya dapat mencari sumber air.
Usaha lain termasuklah menyediakan tiub di kawasan bawah di samping membuat kawasan penggerudian untuk memastikan kerja mencari punca air dapat disegerakan.
Dengan usaha-usaha mencari penyelesaian itu, tentunya ramai berharap agar krisis air UMS dan kawasan sekitarnya dapat diatasi secepat mungkin.
Jaminan sama turut diberikan oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah, III Datuk Shahelmey Yahya yang memaklumkan bahawa masalah air di UMS akan selesai pada akhir Januari ini melalui projek LRA Telibong 2 Fasa 2.
Shahelmey memberi jaminan terhadap masalah berkenaan. — The Star
Beliau juga sempat memberi penjelasan terhadap luahan para pelajar berkenaan peruntukan sedia ada sebelum penambahan itu diberikan.
“Ada pelajar yang bertanya mengenai peruntukan RM3 juta berkenaan dan saya difahamkan peruntukan itu sudah pun digunakan, namun ada masalah lain timbul iaitu paip ada, tetapi tekanan air rendah menyebabkan masalah air di kawasan yang tinggi," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Jelasnya lagi, segala usaha sedang dilakukan untuk memastikan kerja perpaipan itu disiapkan sebelum penghujung Januari, sekali gus menyelesaikan isu mendesak bekalan air yang dihadapi ketika ini.
“Cabaran lain adalah kecurian air serta vandalisme terhadap rangkaian dan sistem paip di negeri ini yang turut menyumbang kepada masalah itu,” tambahnya.
BACA LAGI : Kampus U di Sabah tiada air, pelajar tak puas hati pensyarah tetap teruskan kuliah
Sementara itu, isu tersebut turut meraih perhatian serta menerima pelbagai reaksi terutamanya daripada warga maya yang menggesa agar pihak kerajaan segera menyelesaikan isu berbangkit itu termasuk dari segi pengagihan dana yang diperuntukkan kerajaan.
"Kena siasat seluruh staf pentadbiran UMS. Bukan masalah air sahaja," komen @BlomvistM.
"Lulus dah cantik dah, masuk ke tak duitnya ke bendahari UMS kena tengok. Kalau masuk di bahagian mana yang tak betul? Kalau tak masuk, naya pada UMS, tak pasal-pasal kena kecam netizen," tulis @rozailin.
Mengulas lanjut, salah seorang pengguna Twitter (X) @Sauffie_84 berpendapat bahawa, terdapat beberapa perkara lain yang mendorong masalah itu berpanjangan.
"Banyak sebab projek tertangguh, banyak mulut nak makan. Kena pecah tender. Kalau tak dapat nanti ada pula kontraktor sabotaj buat laporan layang ke SPRM. Dengan pemberi dan penerima tender kena angkut," komennya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram