[VIDEO] 'Elsa sakit, bukan tak cukup makan', Zoo Melaka nafi biar haiwan kelaparan


  • Tular
  • Isnin, 08 Jan 2024

Tangkap layar video tular memaparkan keadaan Elsa yang kelihatan kurus ketika berada di dalam di Zoo Melaka.

PIHAK pengurusan Zoo Melaka menafikan dakwaan bahawa terdapat haiwan di pusat tersebut termasuk Harimau Putih Bengal yang tular baru-baru ini kerana terlalu kurus tidak diberikan makanan yang mencukupi.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datin Sapiah Haron memaklumkan masalah kesihatan menjadi punca fizikal haiwan yang videonya disebarkan di sosial media itu berada dalam situasi tersebut.

Jelasnya, pada ketika ini, Harimau Putih Bengal yang dinamakan Elsa sedang mengalami penyakit tulang punggung dan belakang selain rahang.

Situasi itu ujarnya memberi kesan tidak langsung terhadap diet pemakanannya berbanding harimau normal.

"Disebabkan masalah kesihatan yang dihadapi itu, kalau berat badan terlalu berat, akan menyukarkan Elsa dari segi pergerakan.

"Kalau kita lihat Elsa dalam keadaan gelisah, sebabnya haiwan itu mahukan perhatian," katanya seperti dilaporkan sebuah media tempatan ketika ditemui di Zoo Melaka, pada Isnin.

@n.zalikha1 #fyp ♬ Dawai (From "Air Mata Di Ujung Sajadah") - Fadhilah Intan

Pertemuan itu turut dihadiri oleh Pengarah Zoo Melaka, Zanariah Khamis.

BACA LAGI: [VIDEO] Pihak berkuasa digesa ambil tindakan, pengunjung dakwa harimau di Zoo Melaka tak cukup makan

Pada Ahad, Majoriti melaporkan mengenai satu perkongsian di sosial media yang memaparkan keadaan seekor harimau di Zoo Melaka yang kelihatan kurus dan didakwa berada dalam keadaan kelaparan.

Dalam pada itu, Sapiah memaklumkan harimau terbabit ketika ini hanya mampu makan sekitar tiga hingga empat kilogram sahaja sehari melibatkan kira-kira hanya 80 peratus daripada jumlah makanan yang sepatutnya dimakan iaitu lima ekor ayam yang dianggar seberat lima kilogram.

BACA LAGI: Populasi babi hutan makin berkurang punca pak belang mengganas

Tambahnya, haiwan dikenali dengan nama Elsa itu merupakan haiwan kacukan istimewa dan tidak sama seperti harimau normal lain serta memerlukan pemantauan daripada segi makanan serta berikan vitamin.

Beliau turut menegaskan haiwan di zoo terbabit juga dipantau oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Melaka secara bulanan.

Pada masa sama, beliau berkata, pengurusan zoo akan meletakan pemakluman kesihatannya di tempat paparan supaya pengunjung dapat memahami situasi sebenar keadaan haiwan karnivor itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram