[VIDEO] UMS sahkan tangki air kolej KKTPAR tercemar, tak jejas sumber air utama pelajar


  • Massa
  • Jumaat, 10 Nov 2023

Tangkap layar video memaparkan keadaan sebuah tangki air kolej yang dipenuhi ulat di UMS, Sabah.

PIHAK Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengesahkan berlaku pencemaran di sebuah tangki air kolej kediamannya yang membekalkan sumber air telaga tiub di Kota Kinabalu, Sabah.

Pusat Komunikasi Korporat UMS berkata, pengurusan universiti itu menjelaskan pencemaran berkenaan dikesan selepas siasatan berkenaan sebuah video yang tular di media sosial sejak Jumaat dengan penemuan ulat dalam tangki air yang didakwa berlaku di kampusnya.

"UMS mengambil maklum akan sebuah klip video yang dimuat naik di media sosial baru-baru ini berkaitan pencemaran tangki air di salah satu kolej kediaman pelajar di kampus ini.

"Susulan daripada klip video itu, pengurusan UMS melalui Jabatan Pembangunan dan Penyelenggaraan (JPP) menjalankan siasatan terhadap kesahihan dakwaan seperti yang dinyatakan dalam video tersebut.

"JPP mengesahkan bahawa kejadian itu berlaku terhadap salah satu tangki air di Kolej Kediaman Tun Pengiran Ahmad Raffae (KKTPAR) UMS," katanya.

Bagaimanapun katanya, tangki yang terjejas itu adalah tangki daripada sumber air melalui sistem telaga tiub dan tidak menjejaskan sumber air daripada Jabatan Air Negeri Sabah (Jans) yang menjadi sumber utama kegunaan harian pelajar.

Katanya lagi, JPP UMS mengarahkan kontraktor penyelenggaraan untuk mengosongkan tangki yang tercemar terbabit ekoran kejadian itu.

"JPP juga mengarahkan kontraktor penyelenggaraan supaya sentiasa memantau setiap fasiliti bangunan di UMS bagi mengelakkan sebarang risiko keselamatan dan kesihatan khususnya kepada warga penuntut kampus ini.

"Pengurusan UMS akan terus memantau perkembangan pelajar di KKTPAR bagi memastikan kesihatan mereka tidak terjejas dan tidak mengganggu pembelajaran serta kehidupan seharian pelajar sepanjang berada di kolej kediaman," katanya.

Pada Khamis, seorang pengguna TikTok @kurimasakuti memuat naik video sebuah tangki kolej yang dipenuhi ulat sehingga menimbulkan rasa kurang enak kepada individu yang melihatnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram