Radhi Mat Din terkejut CEO KFA ditahan SPRM, buat meeting tergempar


  • Podium
  • Sabtu, 06 Jan 2024

Radhi serta pihaknya masih menunggu SPRM mengeluarkan laporan penuh berkaitan penahanan tersebut. — Facebook/Kedah FA

PERSATUAN Bolasepak Kedah (KFA) mengesahkan Ketua Pegawai Eksekutif, Zulkifli Che Haron, direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Jumaat bagi membantu siasatan kes rasuah bernilai RM6 juta.

Naib Presiden KFA, Radhi Mat Din berkata, persatuan tersebut akan mengadakan mesyuarat khas selewat-lewatnya pada Ahad bagi membincangkan perkara itu secara teliti.

Menurut beliau, Zulkifli dianggap individu paling kuat bekerja dalam KFA dan bertanggungjawab membantu menyelesaikan masalah hutang membelenggu persatuan itu sebelum ini.

"Setakat ini, kita masih tidak perolehi maklumat tepat (mengenai penahanan Zulkifli) dan secara peribadi, saya sendiri tak tahu lebih lanjut mengenai perkara ini.

"Saya juga amat terkejut apabila ia membabitkan orang paling kuat bekerja dalam KFA, tapi kita tak tahu apa di sebalik itu dan kita kena tunggu dahulu laporan berkaitannya," kata Radhi yang merupakan Exco Belia dan Sukan Kedah.

BACA LAGI: Fans mula petik nama, cuba kenal pasti CEO persatuan bola sepak Utara ditahan SPRM

2475526

Seramai tiga individu ditahan di SPRM Kedah baru-baru ini.

Radhi berkata demikian selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan Majlis Belia Negeri di Kompleks Belia dan Sukan di Alor Setar, Kedah pada Sabtu.

Zulkifli sebelum ini dilantik sebagai CEO KFA pada 2020, selain pernah menjadi penolong setiausaha KFA pada 2008 hingga 2013.

Radhi berkata, KFA akan mengadakan mesyuarat khas tergempar bagi membincangkan perkara itu dengan lebih teliti selewat-lewatnya pada Ahad.

"Kita perlu bagi masa untuk proses berkaitan (siasatan) berjalan dan lihat pertuduhan itu datang dari mana. Yang kita pasti pihak yang dituduh itu selama ini berperanan membantu membayar hutang (KFA) dan kita mahu dapatkan maklumat lebih lanjut,” katanya lagi.

Media pada Jumaat melaporkan seorang CEO persatuan bola sepak dan tiga individu lain, termasuk dua perunding berusia antara 40 hingga 60 tahun direman SPRM bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah bernilai RM6 juta.

Wang rasuah itu dipercayai sebagai balasan membantu seorang pemilik syarikat mendapatkan tender projek pembinaan litar lumba dan projek mengurus, mengoperasi serta menyelenggara lima loji takungan air di Kedah. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram