Dua anggota polis ditahan, didakwa rogol pelajar kolej di Bukit Ampang


  • 112
  • Khamis, 11 Jan 2024

DUA anggota polis ditahan susulan dakwaan merogol dan menyamun dua pelajar kolej swasta di Bukit Ampang View, Kuala Lumpur. — Gambar hiasan

DUA anggota polis ditahan disyaki terlibat dalam kes samun dan rogol pelajar kolej swasta di Bukit Ampang View, Kuala Lumpur pada Selasa.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, dalam kejadian pukul 10.09 malam itu, mangsa yang merupakan seorang wanita warga asing dan rakan lelakinya warga tempatan masing-masing berumur 18 tahun berada di lokasi kejadian telah ditahan oleh dua suspek lelaki yang lengkap beruniform.

Menurutnya, kedua-dua suspek telah bertindak membawa pengadu dan rakannya ke tempat berasingan.

BACA LAGI: Lagi isu disiplin polis, anggota pangkat konstabel ditahan cuba rogol gadis dalam tandas di Ipoh

"Dalam kejadian tersebut, salah seorang suspek telah bertindak merogol wanita tersebut, manakala mangsa lelaki pula dibawa ke bank kerana perlu menjelaskan bayaran yang diminta atas kesalahan lalu lintas," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Katanya, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya telah menangkap kedua-dua suspek berpangkat Konstabel dan Lans Koperal pada Rabu.

"Kedua-dua suspek berusia 24 dan 31 tahun itu direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

BACA LAGI: Polis rakam keterangan suspek buat gangguan seksual, ugut rogol pelajar tingkatan 2 di Shah Alam

"Dua kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan Seksyen 395/397 akta sama," katanya.

Beliau berkata, pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan anggota yang terlibat dalam mana-mana kes jenayah ataupun mana-mana salah laku dan siasatan akan dijalankan secara telus.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Ampang Jaya di talian 03-42897222 bagi membantu siasatan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram