[VIDEO] Nahas 3 buah kenderaan, pemandu Saga 'disodok' King, maut dirempuh lori di Masjid Tanah


  • Tular
  • Khamis, 11 Jan 2024

Tangkap layar insiden kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di laluan berhampiran Medan Selera Hutan Simpan, Sungai Udang, Melaka pada Khamis.

SEORANG pemandu Proton Saga maut selepas dirempuh sebuah lori di selekoh laluan berhampiran Medan Selera Hutan Simpan, Sungai Udang, Melaka pada Khamis.

Kejadian itu dikatakan tercetus akibat kecuaian pemandu Myvi yang terlebih dahulu hilang kawalan dan merempuh mangsa dari arah belakang di laluan terbabit.

Malang menimpa mangsa apabila dia kemudiannya terbabas ke lorong bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori sekali gus mengakibatkan kenderaannya remuk dan tersadai di tengah laluan tersebut.

Maklumat awal diterima daripada orang ramai menjelaskan pemandu Saga berkenaan maut di lokasi kejadian.

BACA LAGI: [VIDEO] Warga emas, wanita mengandung maut nahas 4 kenderaan di Pokok Sena

Menurut laporan media, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu mengesahkan mangsa, Yahya Mohd. Talip, 70, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di seluruh anggota badan.

“Kemalangan berlaku apabila sebuah Myvi dipandu lelaki berusia 31 tahun telah mengekori rapat kereta mangsa sehingga melanggar bahagian belakang kereta Proton Saga berkenaan.

“Kereta mangsa kemudian telah terbabas memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah, Melaka untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.

Dalam pada itu, netizen di ruangan komen mendedahkan bahawa laluan selekoh tajam di situ sememangnya berbahaya dan telah mengundang banyak kes kemalangan sebelum ini.

"Aku rasa sepanjang laluan dari Sungai Udang ke taman selepas kem askar situ, pihak bertanggungjawab kena letakkan papan tanda perlahankan kenderaan, bahaya sebab selekoh tajam," kata Saladin.

BACA LAGI: Pemandu, kelindan mati tersepit dalam nahas 3 buah lori di Tangkak

"Salam takziah, kerap sangat kemalangan di situ, kereta semua bawa laju sampai hilang kawalan, memang bahaya," ujar Nasri Khaimi.

"Selekoh situ memang minta nyawa, banyak yang termakan jalan sebab selekoh situ lagi-lagi kalau masa hujan, ramai yang terkorban," tambah Jefri Alan.

Belum ada sebarang kenyataan polis berhubung hal itu setakat ini dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai berhampiran untuk membuat laporan lanjut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram