Lagi isu disiplin polis, anggota pangkat konstabel ditahan cuba rogol gadis dalam tandas di Ipoh


  • 112
  • Ahad, 18 Jun 2023

Seorang wanita didakwa hampir dirogol oleh pegawai polis berpangkat konstabel dalam tandas sebuah stesen minyak di Jalan Tun Abdul Razak, Ipoh pada Sabtu. — Gambar hiasan

GARA-GARA cuba merogol seorang gadis dalam tandas sebuah stesen minyak di Jalan Tun Abdul Razak, Ipoh, Perak pada Sabtu, seorang anggota polis berpangkat konstabel ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kes terbabit.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya menerima laporan tentang kejadian berkenaan kira-kira pukul 2.30 pagi daripada mangsa yang berusia 19 tahun.

Menurutnya, suspek yang berusia 23 tahun dan berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah, Perak direman lima hari bermula Ahad bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376/511 Kanun Keseksaan.

"Kertas siasatan kes ini sedang dikemas kini dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk cadangan pertuduhan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Dalam pada itu, Mohd Yusri berkata, pihaknya memandang serius terhadap integriti dan tingkah laku serta tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku oleh mana-mana warga Polis Diraja Malaysia.

Pada masa sama, beliau menasihatkan orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi terhadap kes terbabit sehingga menjejaskan siasatan pihak polis.

Hal membabitkan isu disiplin polis hangat dikatakan ketika ini lantaran tularnya beberapa video membabitkan seorang pegawai kanan polis wanita yang didakwa menghina seorang anggota lain di samping bersikap kasar terhadap orang awam dalam tiga insiden berbeza. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram