Tun Daim, keluarga cabar SPRM di mahkamah


SPRM dilaporkan sedang menyiasat bekas menteri kewangan, Daim Zainuddin atas dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram. — The Star

BEKAS menteri kewangan Tun Daim Zainuddin dan keluarganya mencabar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke mahkamah berhubung siasatannya.

Daim dalam tindakannya itu mahu mahkamah mengisytiharkan bahawa siasatan SPRM adalah menyalahi undang-undang, tidak berperlembagaan dan tidak sah.

Permohonan itu difailkan melalui Tetuan Tommy Thomas di pejabat pendaftaran Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu.

Dalam permohonan dibuat, Daim dan isterinya Toh Puan Na'imah Abdul Khalid menamakan SPRM dan pendakwa raya masing-masing sebagai responden pertama dan kedua.

Selain Daim dan Na'imah, turut disenaraikan sebagai pemohon ialah isterinya, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid, empat anak mereka, Asnida, Md. Wira Dani, Muhammed Amir dan Muhammed Amin Zainuddin serta syarikat, Menara Ilham Sdn. Bhd, yang memiliki bangunan terbabit.

Menurut notis permohonan itu, Daim memohon pengisytiharan bahawa SPRM dan pegawainya tidak mempunyai sebab munasabah untuk menyiasat beliau dan keluarganya yang akan membawa kepada pendakwaan bagi sebarang kesalahan di bawah Akta SPRM 2009 atau Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Akta Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Beliau dalam pada masa sama memohon deklarasi bahawa SPRM dan pegawai-pegawainya tiada sebab munasabah untuk menyiasat pemohon pertama hingga keenam atau membawa kepada pendakwaan bagi sebarang kesalahan bawah Akta SPRM 2009 mahupun Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan hasil daripada Akta Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Keluarga itu juga mahu perintah certiorari dikeluarkan terhadap SPRM dan pegawainya bagi membatalkan semua siasatan serta perintah larangan untuk menghentikan semua siasatan lanjut.

Selain itu, Daim dan keluarganya juga meminta harta, aset dan wang yang dirampas untuk dikembalikan.

Perkara itu ditetapkan untuk pendengaran melalui dalam talian di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Wan Ahmad Farid Wan Salleh pada 16 Januari.The Star/ NURBAITI HAMDAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram