Kes Ebit Lew: Saksi dakwa tiada arahan akses data pemacu kilat


Seorang saksi memberitahu Mahkamah Majistret bahawa dia tidak menerima arahan untuk mengelak daripada mengakses data pada pemacu kilat disediakan LGMS Berhad. — The Star

SEORANG saksi dalam perbicaraan pendakwah Ebit Irawan Ibrahim Lew, juga dikenali sebagai Ebit Lew, memberitahu Mahkamah Majistret Tenom, Sabah bahawa dia tidak menerima arahan untuk mengelak daripada mengakses data pada pemacu kilat yang disediakan LGMS Berhad (LGMS).

Juruanalisis Unit Siasatan Jenayah Komputer Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Inspektor Yip Chang Ching, 43, berkata demikian ketika disoal balas peguam Ram Singh, mewakili tertuduh pada Khamis.

BACA LAGI: Polis temukan 90 gambar lucah dalam data telefon bimbit Ebit Lew

Perkara itu merujuk kepada pemacu kilat yang mengandungi data telefon bimbit Ebit Lew yang disediakan oleh LGMS kepada polis.

Saksi pendakwaan kelapan terbabit juga menafikan cadangan Ram Singh bahawa saksi itu telah melebihi had yang dibenarkan untuk mengakses data.

Untuk rekod, Ebit Lew, 38, menghadapi 11 pertuduhan, termasuk mengaibkan kesopanan seorang wanita berusia 40-an dengan menghantar perkataan dan imej lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani akan diteruskan dari 13 hingga 15 Februari ini. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram