Polis rakam keterangan suspek buat gangguan seksual, ugut rogol pelajar tingkatan 2 di Shah Alam


  • 112
  • Isnin, 18 Dis 2023

Mohd Iqbal berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak. —Gambar hiasan

POLIS akan merakam keterangan suspek disyaki terbabit kes gangguan seksual terhadap seorang pelajar perempuan tingkatan dua di sebuah sekolah menengah dekat Shah Alam, Selangor, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, mangsa kes sebelum itu membuat laporan polis berhubung kejadian terbabit pada 15 Disember lalu kira-kira pukul 2.02 petang.

“Siasatan mendapati,mangsa menerima ugutan rogol dan dipukul pada bahagian dada oleh seorang pelajar lelaki tingkatan dua yang dikenali daripada sekolah sama.

“Mangsa sudah mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM) bagi kecederaan yang dialaminya.

“Suspek sudah dipanggil untuk diambil rakaman percakapan (pada Isnin),” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau memaklumkan, kes disiasat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak, membawa hukuman penjara selama tempoh sehingga sampai 20 tahun dan hukuman sebat.

Sementara itu, Mohd Iqbal turut menasihatkan orang ramai supaya bertenang dan tidak terlalu cepat membuat kesimpulan sebelum siasatan pihak polis selesai.

Ujarnya, mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Mira Noraien di talian 011-1143 0765.

Terdahulu, tular satu hantaran di media sosial berkenaan berlakunya insiden ugutan dan ancaman dengan menggunakan perkataan rogol di sebuah sekolah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram