Kes rumah terbakar, Pemuda PN lapor polis tuduhan Ngeh


  • Politik
  • Khamis, 11 Jan 2024

Ahmad Fadhli menunjukkan laporan yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di sini, pada Khamis. — The Star

PEMUDA Perikatan Nasional (PN) membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham berhubung kenyataan berkaitan kejadian kebakaran di rumahnya, di Ayer Tawar, Manjung, Perak, pada Rabu.

Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, laporan itu dibuat pada Khamis susulan kenyataan Ngeh sejurus selepas serangan itu didakwa mendahului siasatan polis.

"Kami tidak bersetuju dengan kenyataan beliau bahawa pesalah itu bermotifkan kenyataan Perikatan Nasional dan PAS yang tidak bersetuju dengan cadangan beliau meletakkan seorang bukan Islam dalam jawatankuasa khas yang dibentuk oleh Kerajaan Persekutuan untuk mengkaji undang-undang Syariah.

BACA LAGI: [VIDEO] Ada botol disyaki bom molotov di lokasi, polis buru suspek khianat cetus kebakaran rumah MP Beruas

"Ini satu lagi kenyataan biadab daripadanya," katanya ketika ditemui di luar ibu pejabat polis Kajang pada Khamis.

Tambahnya, bagaimanapun, beliau turut bersimpati dengan Ngeh berhubung kejadian tersebut.

"Perbuatan sebegitu tidak boleh diterima di negara kita dan tidak ada sesiapa pun yang boleh bertindak memusnahkan harta orang lain dan kami berharap dia mendapat keadilan dalam perkara ini. Kami hanya mahu dia berhenti membuat sebarang kenyataan sebelum polis menyelesaikan siasatan mereka," katanya.

Katanya, membakar barangan peribadi atau cuba mencederakan individu bukan perkara diamalkan dalam PN.

"Kami berharap polis menjalankan siasatan segera dan membawa pesalah ke muka pengadilan. Tidak kisah jika Ngeh memaafkan mereka, tindakan mesti diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab," katanya.

Ahmad Fadhli juga berkata, beliau yakin perkara itu tiada kaitan dengan Perikatan.

"Ada kemungkinan besar dia mempunyai musuh lain yang tidak berkaitan dengan politik," katanya.

Terdahulu, kediaman Koo Ham terbakar dan pihak polis mengesahkan bahawa kejadian itu berpunca daripada perbuatan khianat hasil penemuan botol yang digunakan sebagai bom petrol atau 'molotov cocktail' di lokasi kejadian.

Pemeriksaan polis di tempat kejadian mendapati, kebakaran itu mengakibatkan kereta Mercedes Benz musnah terbakar.

Dua lagi kereta mengalami kesan kepanasan iaitu Honda CR-V dan Toyota Hilux. Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan. The Star / AUSTIN CAMOENS

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram