'Buktikan saya rasuah Agong', Tun M sifatkan penuduh sebagai pengecut


  • Primer
  • Rabu, 10 Jan 2024

Mahathir Mohamed menggesa agar individu penyebar tuduhan tampil membuktikan beliau pernah merasuah Agong dengan wang berbilion ringgit.

"SILA buktikan saya rasuah Yang di-Pertuan Agong (YDPA)". Demikian kenyataan dibuat bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung dakwaan beliau yang dituduh melakukan kegiatan tersebut baru-baru ini.

Menyifatkan dakwaan berkenaan sebagai tidak berasas, Dr Mahathir turut menempelak individu berkenaan kerana menyembunyikan identiti setelah menyebarkan tuduhan terbabit.

"Di media sosial menyatakan saya merasuah Yang di-Pertuan Agong RM500 juta hingga RM1bilion.

"Sila buktikan bahawa saya melakukan ini. Membuat kenyataan sedemikian dan menyembunyikan identiti bermakna anda adalah pengecut,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

BACA LAGI: Isu rasuah, individu berpangkat 'Tun' juga perlu disiasat — Tun Mahathir

Dr Mahathir berkata, pihak yang melemparkan fitnah tersebut seolah-olah turut mencadangkan agar Yang di-Pertuan Agong ditangkap kerana menerima rasuah daripada beliau.

"Adakah beliau mempunyai bukti bahawa Agong mengambil RM1bilion daripada saya? Sila juga buktikan bahawa saya mempunyai wang," katanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir secara sinis mengatakan beliau sebelum ini kerap dilemparkan tuduhan memiliki wang yang banyak, namun tidak dapat dibuktikan.

"Seperti yang semua orang tahu, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah berkata, saya ada berbilion ringgit. Diminta tunjukkan bukti saya ada duit, sampai sekarang dia belum dapat buktikan saya ada duit.

BACA LAGI: [VIDEO] Tun M dakwa Najib perosak budaya, dedah sebab tak suka KJ

"Sekarang kenyataan bahawa saya merasuah Agong dengan RM1bilion bermakna saya ada wang. Jika Anwar tidak dapat membuktikannya sehingga kini mungkin pencetus kenyataan itu harus menunjukkan kepada beliau bahawa saya mempunyai wang untuk merasuah," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyentuh mengenai tindakan Setiausaha Politik Kanan kepada Anwar, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin yang telah membuat laporan polis bahawa bercakap mengenai penyingkiran Perdana Menteri harus diharamkan.

"Kita tidak boleh bercakap tentang 3R, kita tidak boleh mempolitikkan bajet. Sekarang kita tidak boleh bercakap tentang penggulingan Perdana Menteri. Jadi tiada siapa boleh bercakap tentang apa-apa.

"Dan inilah kerajaan yang dipimpin oleh seorang individu yang sebelum ini bercakap tentang reformasi, tentang kebebasan dan lain-lain,” ujarnya sinis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram