BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai perosak budaya Melayu di negara ini.
Jelasnya, amalan meminta wang bermula di era pimpinan Najib Razak yang mula mengenalkan Bantuan Rakyat Malaysia (BRIM) sekitar 2022 telah menukar pemikiran kaum Melayu yang terlampau bergantung kepada kerajaan.
Bercakap dalam program podcast 'Keluar Sekejap' bersama Khairy Jamaluddin dan Shahril Sufian Hamdan pada Isnin, Dr Mahathir merujuk situasi itu sebagai amalan meminta sedekah oleh segelintir masyarakat pada hari ini.
"Dia mengajar orang Melayu supaya selalu bergantung kepada kerajaan dengan meminta-minta seperti peminta sedekah.
"Itu bukan pegangan Melayu, sepatutnya kita malu untuk melakukan sesuatu perkara yang tidak baik tetapi Najib kata buat apa nak malu 'Bossku'.
"Jadi dia perosak ekonomi, budaya Melayu dan saya tak boleh terima perkara itu.
"Kalau kita dapat duit percuma akan jadi lemah dan terhutang budi kepada pemberi," dakwanya.
Beliau yang juga merupakan bekas Ahli Parlimen Langkawi turut menjelaskan bahawa, rakyat akan dikaburkan dengan pemberian wang untuk memberikan sokongan terhadap pesalah laku rasuah dan sebagainya.
"Rakyat tidak lagi menilai orang yang memberi duit kepada dia sama ada individu itu baik ataupun tidak.
"Sikap seperti ini diwujudkan oleh Najib, dia mencuri duit berbilion ringgit dan BRIM itu datangnya daripada dana kerajaan," dakwanya.
Mahathir Mohamad ketika ditemu bual dalam program podcast 'Keluar Sekejap' bersama Khairy Jamaluddin dan Shahril Sufian Hamdan.
Dalam pada itu, ketika disoal punca kemarahan beliau terhadap Khairy Jamaludin pada satu ketika dahulu, Dr Mahathir mendedahkan bahawa ia adalah disebabkan bekas Menteri Belia dan Sukan itu mencabar anaknya, Datuk Seri Mukhriz dalam pertandingan merebut jawatan Ketua Pemuda Umno.
Beliau membuat pengakuan rasmi tersebut di hadapan Khairy sendiri apabila bekas Menteri Kesihatan itu bertanya, "Kenapa Tun tak suka saya?".
"Pasal kamu bertanding dengan anak saya. Lepas itu, mak mentua kamu kempen untuk kamu. Itu yang saya diberitahu," kata Mahathir.
Bagaimanapun, Khairy menafikan bahawa ibu mentuanya, Allahyarhamah Tun Seri Endon Mahmood membantu beliau berkempen untuk memenangi jawatan Ketua Pemuda Umno pada ketika itu.
"Ada, orang ceritalah. Kita tak payah bincang pasal inilah," kata Mahathir apabila Khairy terus menafikan penglibatan Endon dalam kempen pertandingan parti.
Untuk rekod, pada 2006 Khairy dipilih sebagai Ketua Pemuda Umno yang baharu selepas mendapat 304 undi manakala Mukhriz (232) dan seorang lagi calon Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo (254). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram