SEKUMPULAN lelaki bersenjata melakukan serbuan ke sebuah program siaran langsung televisyen di Ecuador sehari selepas Presidennya, Daniel Noboa mengisytiharkan darurat di negara terbabit.
Pengumuman darurat itu dibuat susulan salah seorang ketua geng dadah paling terkenal di negara itu melarikan diri dari penjara.
Rancangan televisyen yang disiarkan pada Selasa menunjukkan beberapa kru petugas ditahan sekumpulan individu bersenjata api ketika kejadian.
Kesemua tahanan diarahkan berbaring di lantai dan beberapa das tembakan dilepaskan untuk menakutkan mangsa.
BACA LAGI: Baru keluar penjara 2 minggu lalu, 3 lelaki ditahan semula terlibat kes samun
Pejabat peguam negara Ecuador berkata, sekurang-kurangnya empat senjata api, dua bom tangan dan bahan letupan berjaya ditemui dengan 13 individu ditahan.
Pertuduhan itu membawa hukuman penjara sehingga 13 tahun di bawah undang-undang Ecuador, jika sabit kesalahan.
Susulan itu, pihak kerajaan pada Selasa mengisytiharkan darurat di sepanjang sempadan utaranya dan mengarahkan penempatan segera sempadan polis dalam usaha meningkatkan keselamatan.
BACA LAGI: Beri bayi 16 bulan dadah sampai kena sawan, sepasang kekasih ditahan di Johor
Terdahulu, seorang tahanan, Adolfo Macias yang digelar Raja Dadah dilaporkan 'ghaib' dari sel penjaranya pada Ahad.
Ketua kumpulan penjenayah Los Choneros itu sepatutnya menjalani hukuman penjara selama 34 tahun di penjara La Regional, Ecuador kerana kesalahan mengedar dadah dan membunuh.
Namun, suspek dilaporkan hilang pada hari sama dijadualkan dipindah ke lokasi penjara lain yang dilengkapi dengan tahap kawalan maksimum di bandar Guayaquil.
Pendakwa raya Ecuador telah memfailkan tuduhan terhadap dua pengawal penjara sebagai sebahagian daripada siasatan mereka terhadap dakwaan suspek yang berjaya melarikan diri.
Untuk rekod, Los Choneros merupakan satu kumpulan penjahat yang telah mencetuskan peningkatan kadar keganasan sejak tahun lalu susulan kes pembunuhan calon Presiden Fernando Villavicencio. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram