Pernah berkhidmat di 7 syarikat sejak 2002, waris Fiza Kamarudin layak terima pencen penakat RM1,975 sebulan


  • Massa
  • Rabu, 10 Jan 2024

Mohammed Azman ketika melawat keluarga Arwah Fiza Kamaruddin di kediaman mereka pada Rabu.

PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (PERKESO) memaklumkan bahawa waris kepada Siti Nor Hafiza Kamarudin, 40, pengarang portal hiburan yang meninggal dunia pada 28 Disember lalu, layak menerima Faedah Pencen Penakat dan Faedah Pengurusan Mayat (FPM).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Sri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, semakan rekod caruman ibu kepada dua cahaya mata, masing-masing berusia 8 dan 10 tahun itu mendapati beliau pernah berkhidmat di tujuh syarikat berbeza sejak Disember 2002.

"Sehubungan itu, suami Allahyarhamah, Roshdi Ramli, layak mendapat faedah PERKESO untuk sepanjang hayat, manakala dua anaknya diberikan manfaat sama sehingga berusia 21 tahun jika belum berkahwin dan boleh dilanjutkan sekiranya menyambung pengajian ke peringkat ijazah pertama.

BACA LAGI: Kes godam data PERKESO, siasatan forensik tumpu elemen jenayah komersial

"Berdasarkan rekod caruman PERKESO milik Siti Nor Hafiza, keluarganya layak untuk menerima bayaran berkala Faedah Pencen Penakat berjumlah RM1,975.00 setiap bulan dan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM2,000 secara sekali bayar, menerusi Skim Keilatan, Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4)," ujar beliau ketika mengadakan 'Ziarah Prihatin' di kediaman waris wartawan terbabit.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad atau lebih dikenali sebagai Altimet turut hadir dalam kunjungan tersebut.

DSC08625

Syed Ahmad atau Altimet (dua dari kanan) turut hadir sama dalam kunjungan ke kediaman waris Allahyarhamah.

PERKESO dalam pada masa sama menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarhamah dan semoga penyaluran faedah ini berupaya membantu kelangsungan hidup mereka.

BACA LAGI: [VIDEO] Wartawan hiburan, Fiza Kamaruddin selamat dikebumikan di Batu Caves

Terdahulu, Allahyarhamah yang lebih dikenali sebagai Fiza Kamarudin menghembuskan nafas terakhir di Hospital Charing Cross, London pada pukul 3 petang waktu tempatan (11 malam waktu Malaysia) akibat pendarahan otak.

Allahyarhamah yang berada di London bersama suami dan dua anak mereka sepatutnya pulang ke Malaysia pada 27 Disember selepas bercuti, tetapi rebah ketika berada Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow.

Pemergian wartawan hiburan berkenaan turut mendapat perhatian rakyat Malaysia yang menderma sebanyak RM50,000 melalui tabung 'Bantulah Fiza'.

Sumbangan derma pihak artis, media dan orang ramai itu disalurkan melalui Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) kepada suaminya bagi membiayai kos membawa pulang jenazah ke tanah air. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram