Isu rasuah, individu berpangkat 'Tun' juga perlu disiasat — Tun Mahathir


  • Primer
  • Rabu, 27 Dis 2023

Tun Dr Mahathir menggesa agar individu berpangkat 'Tun' disiasat dan ditahan reman sekiranya terbabit kes rasuah.

"MEREKA yang berpangkat Tun juga perlu disiasat". Demikian kenyataan dikeluarkan Tun Dr Mahathir Mohamad yang bersetuju agar individu berpangkat 'Tun' ditahan sekiranya gagal menjelaskan secara terperinci bagaimana mereka memperoleh kekayaan.

Tegas bekas Perdana Menteri sebanyak dua kali itu, aset individu terbabit juga perlu disita sekiranya gagal membuat penerangan.

Namun, jelas Dr Mahathir, ia bukan satu keperluan untuk memperoleh bukti dokumen berhubung salah laku mereka dan syak wasangka semata-mata tidak mencukupi.

"Mereka yang berpangkat Tun bukan sahaja perlu disiasat, malah perlu ditahan reman sehingga mereka mendedahkan punca kekayaan mereka. Jika tidak, ia bermaksud mereka menyembunyikan sesuatu.

"Rasuah perlu dihapuskan sama sekali, jika Peguam Negara berpandangan dakwaan itu bersifat politik, maka menjadi hak Peguam Negara untuk tidak meneruskan pendakwaan. Pasport perlu dipulangkan kerana ini adalah hak Peguam Negara.

"Mahkamah tidak boleh persoal keputusan Peguam Negara," kata Dr Mahathir menerusi hantaran di akaun Twitter beliau pada Rabu.

Untuk rekod, media sebelum ini melaporkan siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin berhubung dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram, susulan sitaan sebuah bangunan baru-baru ini.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki mengesahkan perkara itu, namun, enggan mengulas lanjut perincian kes siasatan.

Beliau berkata, tindakan sitaan bangunan Menara Ilham yang dikeluarkan menerusi notis di akhbar baru-baru ini tidak menjejaskan operasi dan urusan di bangunan tersebut.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, Malaysia merupakan sebuah negara yang berpegang kepada undang-undang dan pesalah pertama mesti menerima tindakan penuh undang-undang.

"Jika hukuman sebat itu wajib, maka pesalah perlu disebat. Undang-undang Malaysia adalah yang peraturan tertinggi dan kita semua perlu patuh kepadanya," katanya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram