'Dermalah RM80 bilion pun...', Sanusi perjelas sumbangan RM6 juta dipulang semula sebab kontrak konsesi tidak disambung


  • Primer
  • Isnin, 08 Jan 2024

Muhammad Sanusi Md Nor (depan) mendakwa bahawa rasuah bernilai RM6 juta dikaitkan dengan KFA adalah sumbangan dari sebuah syarikat. — Facebook/Muhammad Sanusi

MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menjelaskan isu rasuah bernilai RM6 juta yang dikaitkan dengan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) melibatkan sumbangan dari sebuah syarikat konsesi air dan wang tersebut sudah dipulangkan.

Menerusi video yang dikongsikan di laman media sosialnya pada Ahad, Sanusi berkata, sumbangan itu diterima selepas syarikat terbabit berharap kontrak projek rawatan air di negeri itu akan disambung.

Beliau yang juga Presiden KFA berkata, bagaimanapun kerajaan negeri tidak menyambung konsesi syarikat itu dan wang sumbangan RM6 juta berkenaan juga telah dipulangkan semula.

BACA LAGI: [VIDEO] Sanusi penakut, pandai cakap belakang sahaja — Isham Jalil

"Plot itu saya tahu membabitkan syarikat besar yang lobi untuk dapat sambungan konsesi rawatan air, syarikat itu derma kerana nak suruh kita sambung.

"Saya kata konsesi ini kita tak sambung, kita nak buat sendiri. Dermalah RM80 bilion pun tak sambung, lepas itu dia minta balik duit," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengulas mengenai dakwaan plot yang berlaku dalam pelbagai isu termasuk penahanan reman Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KFA membabitkan isu rasuah RM6 juta.

Jelasnya, sumbangan syarikat itu dibuat ketika pasukan bola sepak Kedah masih di bawah pengurusan KFA.

BACA LAGI: [VIDEO] Gadis kena ketuk kepala berterima kasih dengan Sanusi, guna duit beli barang kelengkapan masuk politeknik

Dalam pada masa sama, beliau mendakwa akan mendedahkan lebih banyak plot secara bersiri selepas ini sekiranya pihak yang berkepentingan mahu terus ‘berperang’ dengannya.

Terdahulu, media melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman empat individu termasuk CEO KFA yang mana masing-masing berusia antara 40 hingga 60 tahun bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah bernilai RM6 juta.

Wang rasuah berkenaan dipercayai sebagai balasan bagi membantu seorang pemilik syarikat mendapatkan tender projek pembinaan litar lumba dan projek mengurus, mengoperasi serta menyelenggara lima loji rawatan air di Kedah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram