[VIDEO] Gadis kena ketuk kepala berterima kasih dengan Sanusi, guna duit beli barang kelengkapan masuk politeknik


  • Tular
  • Selasa, 22 Ogos 2023

Tangkap layar Muhammad Sanusi ketika menyampaikan bantuan kepada pelajar di Kampung Budi, Pokok Sena, Kedah.

IBU kepada gadis dalam video tular yang mana menunjukkan anaknya kena ketuk kepala dengan kertas oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi tampil mempertahankan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jeneri itu.

Wanita berkenaan, Salwa Shafie, 41, tampil menjelaskan kebenaran di sebalik segala kekeliruan yang berlaku di laman media ketika ini.

"Sebenarnya tak ada apa pun yang berlaku, itu cuma gurauan dan kami sekeluarga tak ambil hati langsung dengan insiden itu.

"Menteri Besar (MB) Sanusi hanya bergurau dan dia cuma ketuk guna kertas bukannya peralatan tajam, anak saya sendiri tertawa selepas daripada perlakuan itu, jadi memang tak ada apa pun yang perlu dikecohkan.

"Banyak berita kata anak saya macam sedih walhal tak ada pun sebenarnya, itu memang cara gurauan orang Kedah, semua yang ada di situ pun faham jadi tolong jangan diperbesarkan lagi perkara ini," katanya kepada Majoriti.

Salwa turut meminta orang ramai berhenti membuat kecaman terhadap tindakan Muhammad Sanusi ketika kejadian di Kampung Budi, Pokok Sena, Kedah pada Sabtu lalu.

Ia susulan kecaman hebat diterima Muhammad Sanusi selepas beliau dianggap tidak menghormati rakyat dan kaum wanita ketika mengadakan lawatan di kampung tersebut pada Sabtu.

Katanya, bagi pihak keluarga juga perkara itu hanyalah satu situasi biasa dan dianggap sebagai gurauan bagi masyarakat di negeri Utara khususnya bagi penduduk Kedah.

Tambahnya, keluarganya berterima kasih atas bantuan wang dihulurkan dan akan dibelanjakan untuk barangan kelengkapan belajar anaknya yang kini sedang menuntut di Politeknik Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, Jitra, Kedah.

"Saya minta semua pihak berhenti kecam MB Sanusi, dia tak buat salah apa pun pada kami, kasihan kena kutuk dalam berita semua.

"Saya pun ada berhubung dengan beliau selepas kejadian itu dan memang tak ada apa isu berbangkit, malah MB Sanusi tenang menjawab itu adalah perkara biasa baginya," ujarnya.

Terdahulu, Timbalan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Amira Aisya Abd Aziz meluahkan pendapatnya berhubung hal tersebut di laman Twitter peribadinya.

Jelasnya, Muhammad Sanusi perlu menjaga adab apabila ingin bergurau dengan rakyat dan tidak menormalisasikan semua perkara sebagai jenaka.

"Jagalah kehormatan orang ramai. Nak bergurau, jaga adab. Lebih-lebih lagi pemimpin berpangkat besar macam Menteri Besar.

"Pemimpin besar buat, pengikut akan ikut sekali. Jangan normalisasi semua benda sebagai jenaka, tunjukkan sedikit rasa hormat," katanya menerusi ciapan di Twitter pada Isnin.

Sementara itu, memetik laporan Malaysiakini, Sanusi berkata, tindakannya itu hanyalah untuk menegur wanita tersebut yang juga seorang pelajar kerana lambat memohon bantuan.

“Lepuk dengan sehelai kertas (surat) saja, bukan dengan kayu. Melawak dengan anak-anak, lagu tu (begitu) lah cara kami kat kampung ni melawak.

“Anak tu nak masuk politeknik kelmarin dulu (baru-baru ini). Pada hari itu baru bagi surat minta sumbangan. Kena lepuklah tapi tetap bagi juga RM650 untuk beli barang dia masuk politeknik,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram