'TAK mudah untuk Perodua gantikan kereta baharu'. Demikian merupakan kenyataan seorang peguam, Asiah Abd Jalil berhubung kes tular sebuah kereta jenis Bezza yang mengalami kerosakan selepas lapan jam digunakan baru-baru ini.
Beliau menjelaskan, proses yang perlu dilalui agak panjang kerana membabitkan tiga perjanjian yang telah ditandangani pemiliknya, Nagakanni Subramaniam iaitu perjanjian di antara pembeli dengan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua); perjanjian pembeli dan bank serta perjanjian pembeli dengan syarikat insurans kereta.
Jelasnya, semua perjanjian itu membabitkan kereta dengan nombor casis dan nombor enjin yang tertentu.
Maka, proses penggantian kereta baharu tidak semudah yang disangka kerana pinjaman bank untuk kereta yang didakwa dimasuki gula itu perlu ditamatkan, seterusnya, kereta baharu perlu didaftarkan hak milik kepada Nagakanni dan kereta yang rosak itu mesti dilupuskan.
"Sekiranya Perodua mendapati bahawa kereta itu rosak secara 'major', syarikat insurans akan tampil untuk membuat penilaian dan sekiranya kerosakan terbabit menjangkaui pembaikan yang ekonomik, mereka akan mengisytiharkan kereta berkenaan sebagai 'total loss'.
"Selepas itu, syarikat insurans akan membayar keseluruhan baki pinjaman kepada bank untuk kereta rosak tersebut.
"Bagi kereta baharu yang diganti oleh Perodua, Nagakanni perlu mulakan semula semua proses dari awal. Mohon pinjaman yang baharu, tandatangan perjanjian baharu, pendaftaran dan sebagainya dengan semua ini di bawah nombor casis dan nombor enjin yang baharu," katanya menerusi hantaran di laman Facebook miliknya pada Khamis.
Asiah berkata, terdapat lima komponen yang dilalui dalam pemilikan sebuah kenderaan iaitu 'ascertainment'; sewa beli; 'merchantable quality'; waranti dan jaminan; serta pemindahan risiko.
"Jual beli kereta dikawal selia oleh undang-undang kontrak dan Akta Jualan Barangan, jadi apabila perjanjian jual beli ditandatangani oleh Perodua dengan pembeli, kemudiannya kereta dengan nombor casis dan nombor enjin didaftarkan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di bawah nama pembeli, proses 'ascertainment' berlaku.
"Ia menyebabkan kereta dengan nombor casis dan nombor enjin yang unik tersebut, kini berpindah hak kepada pembeli secara sepenuhnya. 'Ascertainment' ini menyebabkan pembeli sudah tidak boleh tukar kereta yang telah dimuktamadkan," katanya.
Mengulas lanjut berhubung komponen sewa beli, beliau berkata, sebagai kebiasaannya pembeli akan bayar deposit sekurang-kurangnya 10 peratus daripada harga kereta, manakala baki 90 peratus melalui pinjaman bank.
Justeru, katanya, pembeli akan menandatangani perjanjian sewa beli dan bank akan membayarkan baki harga kereta itu kepada Perodua sebelum diserahkan kepada pembeli.
"Setiap bulan, pembeli akan buat bayaran ansuran kepada bank. Seolah-olah pembeli sedang menyewa kereta ini daripada pihak bank. Kelak jika pembeli selesai membuat bayaran penuh pinjaman kepada bank, kereta ini dianggap telah selesai dibeli. Bank akan melepaskan ikatan kereta ini," katanya.
Bagi komponen 'merchantable quality', Asiah berkata, apabila pembeli membeli kereta baharu, undang-undang menetapkan bahawa kereta itu mestilah mempunyai 'merchantable quality' sebagaimana kereta yang baru keluar dari kilang.
"Kereta baharu tidak sama dengan kereta terpakai. Kereta baharu mestilah tiada kerosakan dan tiada masalah. Pengguna berhak untuk menjangkakan bahawa kereta baharu mestilah sama kualiti dengan kereta baharu yang lain," katanya.
Beliau berkata, kebiasaannya dalam setiap perjanjian jual beli untuk barang baharu, akan ada waranti atau jaminan membabitkan produk rosak atau 'defective product'.
"Biasanya ia mempunyai had masa tertentu, contohnya jaminan terhadap kereta dalam tempoh enam bulan selepas dibeli atau 5,000 kilometer (km), yang mana lebih dahulu. 'Defects' boleh timbul semasa mereka bentuk, pengeluaran atau pemasaran.
"Sama ada 'defects' ini disengajakan atau tidak, diketahui atau tidak, penjual mesti menanggung liabiliti dan menggantikan barang yang rosak ini," katanya.
BACA LAGI: Kereta rosak angkara khianat, maaf polisi asas insurans tak 'cover'
Untuk komponen pemindahan risiko, katanya, semasa penjual menyerahkan kereta secara fizikal, pembeli perlu membuat pemeriksaan terlebih dahulu untuk memastikan tiada kerosakan.
"Sebaik sahaja penyerahan fizikal selesai, risiko terhadap kereta itu kini berpindah kepada pembeli. Perodua sebagai penjual telah selesai tanggungjawabnya kecuali tanggungjawab waranti dan jaminan," katanya.
Asiah yang memiliki firma guaman berpangkalan di Kuantan turut membuat analisis undang-undang terhadap kes yang dihadapi Nagakanni.
"Setelah lapan jam mengambil kereta, enjin kereta itu tidak dapat dihidupkan. Didapati enjin telah rosak kerana dikatakan ada bendasing seperti gula dalam enjin. Kereta ini masih dalam waranti atau jaminan, justeru, Perodua wajib membaiki kereta itu tanpa sebarang kos.
"Apa kedudukan sebenar di sisi undang-undang dalam kes Nagakanni? Gula dalam enjin, jelas ia bukan kesalahan Nagakanni. Ia adalah 'product defects' yang mustahil boleh diketahui oleh Nagakanni semasa kereta diserahkan.
"Sekiranya Perodua mendapati kerosakan enjin adalah major, maka kereta itu tidak mempunyai 'merchantable quality'. Oleh itu, pihak syarikat terbabit wajib mengganti kereta baharu kepada Nagakanni. Namun, ada beberapa isu yang perlu diselesaikan membabitkan komponen 'ascertainment' dan jual beli," katanya.
Terdahulu, seorang kerani wanita mendakwa kenderaan yang baru sahaja dibelinya mengalami kerosakan selepas lapan jam digunakan.
Malah lebih menyedihkan, dia mendakwa tiada sebarang perjanjian ataupun surat hitam putih dikeluarkan pihak Perodua berhubung isu dihadapinya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram