[VIDEO] Pemandu Myvi disyaki mengantuk, terbabas sampai rempuh pembahagi jalan di Tumpat


  • Tular
  • Jumaat, 05 Jan 2024

Tangkap layar insiden kemalangan membabitkan sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi di sebuah jalan raya berhampiran Sekolah Kebangsaan Pasir Pekan, Wakaf Bharu, Tumpat, Kelantan pada awal pagi Jumaat.

SEBUAH kenderaan jenis Perodua Myvi dirakam kemalangan di laluan jalan raya berhampiran Sekolah Kebangsaan Pasir Pekan, Wakaf Bharu, Tumpat, Kelantan pada awal pagi Jumaat.

Ketika kejadian, pemandu yang memandu laju di kawasan berkenaan hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh tiang pembahagi jalan.

BACA LAGI: [VIDEO] Dua 'King' bergaduh atas MEX tak hirau keselamatan pengguna lebuh raya

Insiden terbabit dipercayai berpunca akibat pemandu yang mengantuk susulan laluan di situ dikatakan agak berbahaya kerana terlampau sunyi di samping permukaan jalan tidak rata yang boleh mengundang kecelakaan sekiranya individu cuai dalam pemanduan.

Tersentak dengan hal tersebut, beberapa orang awam kemudiannya berhenti dan tampil memberikan bantuan terhadap si pemandu.

Netizen di ruangan komen rata-ratanya mendedahkan bahawa laluan di kawasan tersebut sememangnya berbahaya kerana agak beralun dan garisan jalan yang semakin pudar.

"Jalan sini memang beralun kalau tengok betul-betul, trek pun bukannya lurus betul ada bengkok sikit macam ular, garisan jalan pun semakin pudar dan kualiti tar lama sangat jadi permukaan pun tidak rata," kata Noor Azam.

"Jalan lurus tapi bahaya sebab banyak lubang dan boleh jadi kawasan lopak air, banyak dah kereta terbabas di sini," ujar Zul Faiz.

"Lorong tepi pembahagi jalan itu memang bahaya sebab berlubang dan ada lopak air, kalau hujan tak selamat memandu di kawasan sini," tambah Rosalan Razak.

Belum ada sebarang kenyataan polis berhubung kejadian terbabit setakat ini dan orang ramai yang mempunyai maklumat, diminta tampil ke balai berhampiran untuk membuat laporan lanjut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram