Cukai 10 peratus barangan import online, ketahui fakta produk LVG yang terjejas


  • Bizz
  • Jumaat, 05 Jan 2024

Kerajaan memperkenalkan cukai 10 peratus bagi barangan import yang dibeli secara atas talian berkuat kuasa 1 Januari lalu. — Gambar hiasan

CUKAI jualan 10 peratus pembelian dalam talian yang mula berkuat kuasa sejak 1 Januari lalu menyaksikan produk jualan bernilai RM500 ke bawah akan terkesan dengan kenaikan kos dari segi harga.

Pengguna di Malaysia yang membeli barangan bernilai rendah (LVG) diimport secara dalam talian, pastinya menyedari akan perubahan tersebut khususnya golongan peniaga yang juga terpaksa menaikkan harga pasaran bagi menampung kos yang perlu ditanggung.

Lokasi pulau bebas cukai seperti Labuan, Sabah, Langkawi, Kedah, Pulau Pangkor, Perak dan zon bebas ataupun gudang berlesen juga akan dikenakan cukai 10 peratus bagi barangan LVG.

Namun, perlu diketahui bahawa beberapa barangan seperti produk tembakau, rokok, minuman keras, rokok elektronik dan bahan penyediaan yang digunakan untuk merokok terkecuali daripada penambahan cukai tersebut.

BACA LAGI: [VIDEO] Cukai Arab Saudi punca antara punca kos haji meningkat — Mohd Na'im

vape001-e1648288215995

Barangan berasaskan tembakau dan rokok terkecuali daripada dikenakan cukai 10 peratus. — Gambar hiasan

Bertitik tolak daripada itu, warganet di laman media mula mengajukan beberapa persoalan antaranya kenaikan cas penghantaran, diskaun baucar dan pelbagai lagi pertikaian lain berkaitan kos pembelian atas talian.

Berikut merupakan penjelasan lanjut berkaitan hal yang dibangkitkan pengguna di laman media.

1. Kos penghantaran terkecuali daripada cukai 10 peratus

Cukai 10 peratus tidak akan dikenakan ke atas sebarang caj lain seperti kos pengangkutan, penghantaran dan insurans sesuatu barangan.

Sebagai contoh, sekiranya pengguna membeli jam tangan dalam talian yang berharga RM200, mereka hanya perlu membayar kos tambahan RM20 sebagai cukai 10 peratus terhadap jualan LVG.

Maka, cas penghantaran masih terkecuali dan tiada kenaikan harga dikenakan bagi kos pengangkutan barang yang dipesan.

Namun, sekiranya pembelian barangan dibuat secara serentak hingga melebihi RM500, ia masih akan dikenakan cukai terhadap setiap satu pesanan di paras LVG.

2. Diskaun baucar di platform atas talian

Bagi senario penggunaan baucar diskaun, hanya harga jualan asal yang akan dikenakan penambahan cukai 10 peratus.

Meskipun baucar itu bernilai RM50 misalnya, ia masih boleh digunakan pengguna dengan kadar pengurangan maksimum kerana hanya harga barangan sahaja yang terkesan dengan cukai tersebut.

3. Cukai jualan barangan import

Negara akan mengutip tiga jenis cukai iaitu Duti Eksais, Cukau Jualan dan Duti Import terhadap mana-mana barangan yang diimport ke Malaysia.

Namun, bagi individu yang memberi barangan bernilai bawah RM500, mereka masih akan terselamat daripada dikenakan cukai jualan 10 peratus bagi kos insurans dan pengangkutan barangan yang dipesan.

Ini adalah kerana, cukai 10 peratus hanya dikenakan pada barangan LVG sahaja, selain itu ia masih terkecuali daripada kadar minimum Duti Import dan Cukai Jualan (De Minimis) ditetapkan kerajaan iaitu RM500.

Untuk rekod, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil sebelum ini berkata, pelaksanaan cukai itu dijalankan bagi memastikan daya saing produk tempatan dapat ditingkatkan selain tidak memberi kesan kepada produk dalam negara yang dibeli secara dalam talian.

BACA LAGI: [VIDEO] Cukai dikenakan bila perlu, bukan bebankan rakyat — PM Anwar

aja

Fahmi Fadzil yakin pengenalan cukai 10 peratus bagi barangan import mampu meningkatkan daya saing produk tempatan. — Bernama

"Yang penting, perlu dijelaskan bahawa ia hanya terpakai bagi produk import yang dijual secara dalam talian di Malaysia. Produk yang dihasilkan dalam negara tidak terkesan, jadi saya harap ini dapat kurangkan salah faham dalam kalangan masyarakat tentang cukai tersebut.

"Kita boleh rujuk laman rasmi Jabatan Kastam untuk maklumat lebih terperinci dan dari semasa ke semasa kita akan pantau untuk pastikan adakah rakyat terutama penjual dan pembeli yang laksanakan transaksi dalam talian benar-benar faham kenapa ia dilaksanakan dan apa kategori produk yang terkesan," katanya menerusi laporan media.

Dalam pada itu, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) turut menerbitkan satu set garis panduan mengenai pelaksanaan cukai jualan LVG di portalnya.

Untuk maklumat lanjut, layari laman sesawang JKDM. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram