'Perodua Bezza rosak lepas 8 jam kes terpencil, apa salah tukar kereta baharu, usah bebankan pemilik dengan loan kedua'


  • Massa
  • Khamis, 04 Jan 2024

Seorang pengguna mendakwa keretanya mengalami kerosakan selepas lapan jam dibeli dari pusat jualan Perodua di Segamat, Johor.

PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) tampil menepis dakwaan bahawa tiada sebarang tindakan diambil oleh pihaknya untuk menyelesaikan isu kerosakan kereta dialami seorang pemilik kereta jenis Perodua Bezza baru-baru ini.

Mendakwa kenderaannya mengalami kerosakan selepas lapan jam digunakan, individu dikenali sebagai Nagakanni Subramanian meluahkan kekecewaannya berhubung isu tersebut di laman Facebook pada Selasa.

Mengulas lanjut berkaitan hal itu, Ketua Pegawai Operasinya, JH Rozman Jaafar berkata, pihaknya sudah berkomunikasi dengan pelanggan terbabit sejak Oktober tahun lalu berhubung masalah berkenaan.

Katanya, beberapa langkah juga telah diambil untuk menyelesaikan isu terbabit termasuklah dengan menawarkan kereta sementara untuk digunakan serta pilihan untuk membeli semula kereta berkenaan.

BACA LAGI: Kereta rosak angkara khianat, maaf polisi asas insurans tak 'cover'

"Perodua juga telah memberi jaminan kepada pelanggan berkenaan untuk mengutamakan kes beliau.

"Siasatan menyeluruh berhubung isu ini sedang dijalankan dan kami akan berkongsi maklumat lanjut mengenainya selepas ia selesai," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Namun, individu yang juga merupakan seorang kerani pejabat itu sekali lagi tampil dengan dakwaan mengatakan pihak Perodua seolah-olah hanya mahu menutup kesalahan dan meredakan keadaan dengan kenyataan dibuat.

Jelasnya, tiada sebarang jaminan mahupun surat perjanjian dibuat berhubung kenyataan pihak terbabit yang ingin membeli semula keretanya dan membatalkan pinjaman bank pertamanya.

"Ada jaminan secara hitam dan putih tak yang kata kereta pertama saya akan dibeli semula dan tak perlu bayar pinjaman pertama.

"Tak ada, dah lebih dua bulan masih belum ada apa-apa maklumat secara terperinci mengenai pembelian balik, tempoh pembelian balik, pembayaran dan semua itu.

"Kalau betul Perodua nak beli balik kereta saya silakan tapi mana perjanjian hitam dan putih, sehingga hari ini saya masih belum terima," ujarnya di laman Facebook pada Rabu.

Netizen turut bersimpati dengan nasib menimpa wanita berkenaan dan memohon agar pihak peguam tampil secara sukarela untuk membantu menyelesaikan isu berkenaan.

"Peguam yang hebat, sila munculkan diri bantu lawan kes ini, mesti boleh menang kalau saman pihak syarikat sebab ramai juga yang pernah kena nasib sama," kata Syahira Supian.

"Perodua syarikat yang bagi saya nombor satu dalam keluaran kereta, tidak sepatutnya layan pelanggan begini. Saya tak faham kalau kereta baru rosak, terus guna warranty dan baiki. Takkan dua bulan masih tak selesai baiki. Perodua yang ada mekanik hebat belaka. Come on lah guys. Saya yang ada dua kereta Perodua, tak pernah hampa dengan kereta saya," kata Razman Hakimi Abdullah.

"Isu mudah, baru beli lapan jam kereta dan masalah jadi apa salahnya Perodua gantikan dengan yang baharu ataupun terus perbaiki kerosakan enjin, kenapa sampai berbulan-bulan ambil masa dan bila dah kecoh baru nak keluarkan kenyataan," tambah Shikin Hasmi.

Dalam pada itu, Nagakanni turut mendakwa dia masih perlu membayar ansuran bulanan seperti biasa selepas permintaannya untuk mendapatkan kenderaan baharu daripada pihak Perodua tidak berjaya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram