[VIDEO] Sanusi sekadar baca teks, ramai kecewa Litar Lumba Sungai Petani masih terbengkalai


  • Massa
  • Khamis, 04 Jan 2024

Tangkap layar Muhammad Sanusi yang mendakwa beliau hanya diarahkan untuk membaca teks sahaja ketika menjanjikan projek litar lumba di Sungai Petani, Kedah bakal siap dalam tempoh enam bulan.

PROJEK litar lumba di Ambangan Heights, Bandar Aman Jaya, Sungai Petani, Kedah yang dibina pada 2017 kian terbengkalai selepas tiada sebarang pembangunan dilakukan di kawasan tersebut sejak beberapa tahun lalu.

Litar bertaraf antarabangsa sepanjang 1.8 kilometer itu sebelum ini dirancang dibangunkan di atas tanah seluas 40 hektar yang turut dilengkapi dengan kawasan komersial, pusat pameran dan jualan serta pusat penyelenggaraan kenderaan dengan ia turut dikatakan bakal setaraf Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Johor.

Bagaimanapun, sehingga kini status pembinaan itu masih 'sepi' dan tiada maklumat terkini dilaporkan berhubung projek mega tersebut.

Baca lagi: PRN: Sanusi cari pasal, tayang kertas undi kepada wartawan

Tumpuan masyarakat Sungai Petani khususnya peminat sukan pemotoran kini tertumpu ke arah janji Menteri Besar, Datuk Muhammad Sanusi Md. Nor yang sebelum ini menabur janji bahawa ia akan disiapkan dalam tempoh enam bulan bermula Ogos 2022.

Namun, baru-baru ini tular satu video dimuat naik di laman Twitter yang memperlihatkan Sanusi memaklumkan bahawa kenyataan sebelum ini bukanlah jaminan, sebaliknya dia hanya diarahkan untuk membaca teks sahaja ketika menjanjikan perkara tersebut.

"Saya tukang baca sahaja, sekarang ini pembangkang serang saya sebab saya umum enam bulan.

"Projek itu tidak siap, maka saya punya salah," katanya.

Video berdurasi 12 saat itu nyata menerima pelbagai kecaman serta kritikan netizen yang kurang berpuas hati dengan kenyataan Muhammad Sanusi.

"Alasan Sanusi kenapa Litar Motosikal di Sungai Petani tak siap dalam masa enam bulan, lepas ini kalau jadi apa-apa atau projek di Langkawi, dia lepas tangan macam ini juga ke," kata bumilangit.

"Malang sungguh orang Kedah dapat menteri besar macam ini, tahap pembaca berita sahaja," ujar Joe Labu.

301589158_1703713516679270_2482468873976467352_n

Infografik Litar Lumba Sungai Petani

"Menteri Besar sekadar jadi boneka sahaja ke, main baca tak datang mesyuarat ke, projek yang di Kedah itu semuanya bukan bawah kerajaan negeri Kedah ke," soal Pokokpangkal.

"Dibayar gaji mahal hanya untuk jadi tukang baca sahaja," tambah Albaniah.

Untuk rekod, projek litar yang dirancang kerajaan negeri terdahulu terbengkalai sejak 2017 dan Muhammad Sanusi pada sesi pembentangan Belanjawan 2022 pada November tahun lalu memberitahu, kerajaan sedia meneruskan projek itu.

Beliau berkata, pada masa hadapan, Kedah bakal mempunyai dua litar lumba iaitu di Langkawi dan Sungai Petani yang mana kedua-duanya akan dibina dan diurus syarikat milik Kerajaan Negeri Kedah, Permodalan Kedah Berhad, (PKB) dan Open Road Asia Sdn Bhd. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram