[VIDEO] Cukai Arab Saudi punca antara punca kos haji meningkat — Mohd Na'im


  • Primer
  • Rabu, 08 Nov 2023

Peningkatan kos haji yang disebabkan faktor luar iaitu percukaian di Arab Saudi. — Gambar hiasan/Bernama

BELAKANGAN ini, hangat isu tentang peningkatan kos haji yang membimbangkan seluruh rakyat Malaysia yang ingin melakukan ibadah tersebut.

Namun, ia juga menjadi antara perbahasan hangat kerana dikatakan berlaku berpunca daripada faktor di luar kawalan Tabung Haji (TH).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, antara faktor terlibat ialah kadar inflasi dan percukaian di Arab Saudi selain kadar tukaran mata wang Ringgit Malaysia berbanding riyal dan dolar Amerika Syarikat.

Pada masa sama, beliau menjelaskan bahawa faktor lain yang turut memberi impak adalah projek pembesaran yang berterusan di Makkah dan Madinah hingga menyebabkan banyak bangunan penginapan dirobohkan sekali gus memberi tekanan kepada pasaran harga sewaan.

“Terdapat juga beberapa caj yang dikenakan oleh pihak berkuasa Arab Saudi bagi pelbagai perkhidmatan yang disediakan untuk kebajikan dan keselesaan jemaah haji di Tanah Suci.

“Kenaikan kadar cukai tambah nilai (Value Added Tax) di Arab Saudi daripada lima peratus kepada 15 peratus bermula Julai 2020 juga adalah salah satu punca kenaikan kos yang agak ketara,” katanya ketika menjawab soalan Mohamad Shafizan Kepli (GPS-Batang Lupar) mengenai faktor peningkatan kos mengerjakan haji di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur pada Rabu.

Dalam pada itu, Mohd Na’im berkata, TH telah berusaha untuk mengawal peningkatan kos berkenaan dengan memeterai beberapa perjanjian kontrak jangka panjang melibatkan penerbangan, penginapan, sajian makan dan beberapa perkhidmatan di Arab Saudi.

Katanya, dengan cara tersebut, harga dapat ditetapkan untuk satu tempoh masa dan tidak dinaikkan setiap tahun.

"Kita juga sentiasa menasihati pendeposit dan bakal haji untuk sentiasa merujuk kepada TH bagi mendapatkan maklumat tepat serta terkini melalui platform media sosial serta portal laman rasmi.

“Sebagai sebuah institusi Islam yang komited dalam memastikan kebajikan jemaah haji terpelihara, TH akan terus memberi bantuan kewangan untuk jemaah haji muassasah yang layak.

“Kos haji, kadar bayaran haji dan bantuan kewangan haji akan diumumkan setelah perbincangan secara menyeluruh dibuat dengan mengambil kira keupayaan dan kedudukan kewangan TH,” jelasnya lagi.

Pada Selasa, kos mengerjakan ibadat haji pada 2024 dilaporkan akan meningkat sepertimana sebelum ini, memandangkan situasi berkenaan tidak hanya memberi kesan kepada umat Islam di Malaysia malah seluruh dunia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram