[VIDEO] Budak 3 tahun terjatuh, meronta jari tersangkut 10 minit di eskalator pusat beli-belah


  • Benua
  • Khamis, 04 Jan 2024

Seorang kanak-kanak berdepan nasib malang apabila terjatuh dan jarinya tersangkut pada tangga eskalator di pusat beli-belah City Plaza, Geylang, Singapura pada Selasa.

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun berdepan detik cemas apabila jarinya tersangkut pada eskalator di sebuah pusat beli-belah City Plaza, Geylang, Singapura pada Selasa.

Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu kira-kira pukul 2.15 petang.

SCDF bagaimanapun berjaya membebaskan kanak-kanak itu menggunakan peralatan menyelamat dan membawanya ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak untuk mendapatkan rawatan.

Menurut laporan media, ibu kanak-kanak itu yang hanya mahu dikenali sebagai Cik Sonia berkata, dia berada di luar negara dan panik sebaik menerima panggilan daripada ibunya mengenai kejadian tersebut.

BACA LAGI: [VIDEO] Sejam terperangkap, lelaki cedera 'ditelan' eskalator di stesen kereta api

"Semasa menuruni eskalator dari tingkat dua ke satu, anak saya enggan memegang tangan neneknya, sebaliknya memilih untuk berpaut pada susur tangan eskalator berkenaan.

"Namun, dia secara tiba-tiba hilang imbangan dan terjatuh ke belakang.

"Jarinya terperangkap dalam eskalator sebelum kakitangan pusat beli-belah itu pantas mematikan suis dan tampil membantu," katanya.

Mangsa dilaporkan hanya mengalami kesan luka di jarinya dan tiada sebarang kecederaan parah dialaminya.

Dalam pada itu, jurucakap Ohmyhome Property Management, ejen Pengurusan Hak Milik Strata Perbadanan Pengurusan City Plaza (MCST), berkata, kejadian itu berlaku pada pukul 2.10 petang selepas budak lelaki itu tergelincir dan terjatuh di eskalator tersebut.

"Jari budak lelaki itu tersangkut pada tangga eskalator dan kakitangan kami berjaya menenangkan mangsa dan keluarganya yang terpaksa menunggu selama lebih 10 minit sebelum bantuan ambulans tiba.

"Suis eskalator itu kemudiannya dimatikan demi tujuan keselamatan sebelum pihak ambulans tiba untuk memberikan rawatan.

"Selepas daripada kejadian itu, syarikat penyelenggaraan telah menjalankan pemeriksaan terhadap eskalator tersebut dan ia kembali dihidupkan selepas semuanya selamat," katanya.

Sementara itu, pihak Berkuasa Bangunan dan Pembinaan (BCA) berkata, tiada kerosakan berlaku pada ciri keselamatan eskalator terbabit.

"Jurang antara langkah eskalator dan panel sisi mematuhi piawaian keselamatan dan suis keselamatan pada eskalator berfungsi dengan baik, kata BCA.

"Memandangkan tiada sebarang kerosakan dikesan, eskalator telah dibersihkan dan kembali beroperasi seperti biasa," tambahnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram