Sebar gambar bogel rakan punca lelaki dibunuh, ditanam dalam semak di Sungai Choh


  • 112
  • Khamis, 04 Jan 2024

Pasukan polis mengeluarkan mayat lelaki yang ditanam di belakang rumah di Sungai Choh, Rawang, Gombak, Selangor. — Ihsan PDRM

PERBUATAN mangsa yang didakwa menyebarkan gambar bogel rakan suspek dipercayai punca utama kes pembunuhan seorang lelaki yang mayatnya ditemukan ditanam di sebuah kediaman di Sungai Choh, Rawang, Gombak, Selangor 23 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, susulan kejadian itu, polis menahan lapan suspek terdiri daripada lima lelaki dan tiga wanita, berusia antara 19 sehingga 46 tahun.

Menurutnya, kesemua suspek ditahan reman selama 13 hari mulai 24 Disember lalu hingga Jumaat bagi membantu siasatan.

BACA LAGI: Kes bunuh akauntan di Cheras, polis tahan 2 rakan mangsa

"Kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Selangor dan sudah mendapat arahan tuduh ke atas enam suspek yang mana dua dituduh mengikut Seksyen 201 kanun keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun keseksaan iaitu kesalahan melupuskan barang bukti.

"Lima orang suspek dituduh mengikut Seksyen 302 kanun keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama iaitu kesalahan bunuh," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Difahamkan, seorang daripada suspek dituduh dengan dua pertuduhan melupuskan barang bukti dan bunuh.

BACA LAGI: [VIDEO] Tiga kes bunuh bermotifkan cemburu buat rakyat Malaysia cukup 'triggered'

Noor Ariffin berkata, dua suspek lain dibebaskan dan mereka dijadikan saksi pendakwaan.

"Kesemua suspek akan dituduh di mahkamah Selayang, Selangor pada Khamis di mana motif kejadian adalah tidak puas hati berkaitan penyebaran gambar bogel rakan suspek oleh mangsa,” ujarnya.

Terdahulu, media melaporkan, seramai lapan individu ditahan disyaki terbabit pembunuhan seorang lelaki tempatan berusia 19 tahun yang ditemui ditanam dalam belukar di belakang rumah salah seorang suspek di Kampung Sungai Choh, Rawang.

Kejadian dipercayai berpunca daripada salah faham antara salah seorang suspek dan mangsa yang juga teman lelakinya.

Mayat mangsa kemudiannya ditanam di belakang rumah keluarga itu sebelum isteri kepada salah seorang suspek membuat laporan polis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram