[VIDEO] Cukai dikenakan bila perlu, bukan bebankan rakyat — PM Anwar


  • Primer
  • Selasa, 01 Ogos 2023

Anwar Ibrahim ketika memberikan ucapan di Persidangan Percukaian Kebangsaan, Kuala Lumpur. — The Star

DASAR percukaian Malaysia perlu berdasarkan dua prinsip asas, iaitu mengenakan cukai apabila ia benar-benar perlu dan ia tidak dianggap sebagai beban kepada pembayar cukai, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Niat kami, sudah tentu untuk menggalakkan mereka menjadi lebih produktif dan menyumbang kepada negara," katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian pada Persidangan Percukaian Kebangsaan 2023 selama dua hari bermula Selasa di Kuala Lumpur.

Anwar berkata, kerajaan juga perlu memastikan cukai yang dikutip dibelanjakan dengan bijak tanpa ketirisan.

Menurut beliau, percukaian itu perlu, tetapi kerajaan tidak seharusnya mengenakan cukai secara berlebihan dan membebankan rakyat.

"Perubahan yang perlu kita lakukan, termasuklah dalam belanjawan yang akan datang iaitu Belanjawan 2024 yang dijadualkan akan dibentangkan pada 13 Oktober, akan dirangka dengan jelas berdasarkan prinsip 'mengenakan cukai apabila perlu dan tidak dilihat sebagai beban kepada rakyat dan komuniti perniagaan',” katanya.

Menurut Anwar, pentadbiran yang baik amat penting untuk memastikan negara bebas daripada gejala rasuah yang memberi kesan kepada pendapatan menerusi kutipan cukai.

"Kita boleh mengutip sebanyak mungkin tetapi jika isu pentadbiran tidak diselesaikan, akan berlaku ketirisan.

"Anda boleh berbelanja RM22 bilion untuk membantu rakyat tetapi berlaku ketirisan sehingga hilang RM5 hingga RM6 bilion," katanya.

Oleh itu kata Anwar, kerajaan akan mendapatkan input dan cadangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk menyelaraskan beberapa dasar percukaian atau pengenalan cukai baharu.

“Saya akan berhubung dengan LHDN untuk mendapatkan input dan cadangan mereka bagaimana secara berkesan melaksanakan beberapa pelarasan dasar atau memperkenalkan langkah cukai baharu.

“Bagaimanapun, ia akan berlandaskan prinsip asas dasar dengan mengenakan cukai apabila sangat perlu dan bukan menjadi beban kepada pembayar cukai.

“Pada masa sama, bagi mewujudkan pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi untuk manfaat kumpulan rentan, sistem percukaian dan agensi yang mengendalikannya mesti cekap, bersih dan sangat berkesan,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, pelabur asing dan domestik akan melihatnya sebagai peluang dalam perusahaan perniagaan.

"Ini bukan sahaja sebagai ganjaran kepada mereka tetapi pada masa yang sama, memupuk semangat kekitaan atau rasa tanggungjawab terhadap mereka yang sejajar dengan konsep Madani," katanya sambil menambah malah, mereka yang memerlukan dan terpinggir akan dapat bersaing dan bertahan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram