LIMA buah kenderaan dilaporkan kemalangan ekoran tindakan cuai seorang pemandu Perodua Myvi yang memandu melawan arus di Kilometer 2.6 Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Timur (EDL), Johor Bahru, Johor pada malam Ahad.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, nahas berlaku pada pukul 12.30 tengah malam, selepas sebuah kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Triton yang dipandu lelaki warga tempatan berumur 40 tahun bersama tiga penumpang dari arah utara menghala ke pusat bandar Johor Bahru, gagal mengelak Myvi terbabit.
BACA LAGI: [VIDEO] Padah menyelit melawan arus, penunggang 'motorbike' meronta kaki hancur disagat kereta
"Myvi dipandu lelaki tempatan berusia 20-an di lorong kanan secara melawan arus. Ketika pelanggaran, pacuan empat roda terbalik di tengah jalan dan menyebabkan tiga kenderaan lain, Honda City, Toyota Vios dan Audi A3 yang datang dari arah sama tidak sempat mengelak dan melanggar kereta pacuan dan Myvi yang berada di tengah jalan.
"Hasil siasatan awal mendapati, pemandu terbabit tidak tahu jalan di bandar raya ini kerana baru tiba dari Sarawak.
"Akibat pelanggaran tersebut, pemandu Myvi cedera parah dan masih menerima rawatan di wad zon kuning di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.
Raub berkata, pemandu dan penumpang kenderaan lain hanya cedera ringan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram