PERLINDUNGAN asas insurans kenderaan lazimnya tidak meliputi perlindungan terhadap insiden kerosakan yang melibatkan unsur khianat.
Pakar insurans, Intan Nur Syuhada Aliah berkata, disebabkan itu, pemilik kenderaan yang terlibat dalam insiden sedemikian kebiasaanya tidak berhak untuk membuat sebarang tuntutan.
Jelasnya, kes yang tidak termasuk dalam polisi perlindungan asas kenderaan itu meliputi kejadian membabitkan kerosakan akibat mogok, rusuhan dan kekecohan.
Menurut Intan, sama seperti insurans membabitkan bencana, ramai pengguna tidak mengetahui bahawa perlindungan terhadap kerosakan akibat khianat juga merupakan sebahagian daripada manfaat yang perlu ditambah dalam polisi diambil ketika proses mengambil atau memperbaharui insurans.
"Ramai org tak tahu pasal benda ini. Lagi satu harga polisi yang agak tinggi juga menjadi sebab kenapa orang tak berapa ambil tahu mengenai manfaat polisi ini.
"Kebanyakan mereka yang nak perbaharui insurans pun tidak bertanya pasal manfaat polisi perlindungan membabitkan kes khianat ini," kepada Majoriti.
Intan yang juga Pengarah Agensi Gemilang Empire Zurich Takaful Sdn Bhd berkata, bagi yang mengambil manfaat tersebut dalam polisi perlindungan kenderaannya, proses tuntutannya adalah sama seperti pemilik kenderaan yang mengalami kemalangan.
Terdahulu pada Khamis, enam kereta yang diparkir di Jalan Batu Nilam 3, Bandar Bukit Tinggi di Klang, Selangor, rosak dipercayai dibakar individu kurang siuman.
Kejadian itu turut menyebabkan seorang lelaki berusia 37 tahun melecur di tangan ketika cuba memadamkan kebakaran.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, lima anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Andalas bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada pukul 1.11 petang.
"Pemeriksaan mendapati enam kereta iaitu Nissan Sentra, Perodua Bezza, Axia dan Myvi serta Mazda dan Proton Saga terbakar," katanya.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati seorang individu kurang siuman dipercayai membakar tiga kereta di kawasan itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram