Ingatkan polis, rupanya sekadar pekerja buruh binaan di Ampang


  • 112
  • Rabu, 03 Jan 2024

Polis merampas beberapa barangan milik lelaki yang didakwa menyamar sebagai polis di Pandan Cahaya, Ampang, Kuala Lumpur pada Isnin.

SEORANG pekerja buruh binaan ditahan selepas didakwa menyamar sebagai anggota polis di Pandan Cahaya, Ampang, Kuala Lumpur pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, dalam kejadian yang berlaku pukul 1.45 pagi itu, pihaknya menahan seorang lelaki yang menunggang sebuah motosikal serta memakai vest tertera tulisan polis.

"Semasa ditahan, suspek berusia 27 tahun itu gagal menunjukkan kad kuasa polis dan memberikan alasan yang munasabah kerana berpakaian polis.

"Suspek ditahan kerana disyaki menyamar sebagai anggota polis," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mohd Azam berkata, pihaknya turut merampas sebuah motosikal, anak kunci, satu vest dan sekeping kad pengenalan.

"Hasil ujian air kencing ke atas suspek mendapati, individu itu negatif dadah dan semakan lanjut mendapati tiada rekod lampau.

"Suspek telah direman empat hari bermula Isnin hingga Khamis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan merujuk kepada menyamar penjawat awam dan Seksyen 89 Akta Polis 1967 merujuk kepada memiliki secara haram peralatan yang dibekalkan kepada pegawai polis," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram