[VIDEO] Kelindan lori baran tumbuk JPJ di Jitra rupanya ada 3 kesalahan termasuk 'road tax' mati


  • 112
  • Rabu, 03 Jan 2024

Tangkap layar insiden keganasan membabitkan seorang kelindan lori yang mencederakan anggota JPJ di Jalan Tasik Darul Aman, Jitra, Kedah baru-baru ini.

SUSULAN kejadian anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang cedera ditumbuk pemandu lori baru-baru ini, suspek yang memandu lori jenis Nissan Vanette itu dilaporkan telah ditahan polis.

Hasil siasatan JPJ Kedah mendapati, rakaman video tersebut sebenarnya berlaku kira-kira pukul 4.04 petang 22 November lepas di Jalan Tasik Darul Aman, Jitra, Kedah sebelum video itu tular sejak Selasa.

BACA LAGI: [VIDEO] Anggota JPJ cedera makan penumbuk kelindan lori baran

"Ketika kejadian, anggota bertugas sedang melakukan tugasan rondaan dan telah mengesan sebuah kenderaan yang mencurigakan.

"Hasil pemeriksaan awal mendapati suspek memiliki tiga kesalahan iaitu lesen kenderaan motor tamat tempoh, tiada perlindungan insurans dan perakuan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) tamat tempoh," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Difahamkan, kenderaan itu yang diarahkan untuk berhenti bagaimanapun enggan memberi kerjasama ketika kejadian.

"Sebaik ditahan, suspek telah melakukan kekerasan jenayah, mengeluarkan kata-kata kesat dan menghalang penjawat awam daripada melakukan tugas.

"Satu laporan polis telah dibuat berhubung kejadian itu oleh anggota bertugas dan individu terbabit telah ditahan serta didakwa di Mahkamah Majistret Jitra di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan," katanya.

Mahkamah telah menjatuhkan hukuman penjara selama setahun dan denda sebanyak RM4,000. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram