Suri rumah tunjuk skil ukir wajah pemimpin Malaysia pada tembikai


  • Hobi
  • Jumaat, 08 Dis 2023

Iswati (kanan) dan Taufiq menunjukkan ukiran wajah Anwar Ibrahim yang terpahat pada sebiji tembikai. — Bernama

MENGUKIR wajah seseorang pada sebiji tembikai dalam masa hanya 30 minit bukanlah satu tugas mudah, lebih-lebih lagi yang diukir adalah wajah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tugas istimewa itu dilaksanakan dengan sempurna oleh suri rumah, Iswati Ishak, 52, dari Jenjarom, Banting, Selangor yang turut mengukir wajah dua Timbalan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

Iswati turut mengukir wajah Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Timbalan Menterinya Datuk Chan Foong Hin, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Lokman Hakim Ali serta satu ukiran tanda pagar #SatuTahunBersamaKerajaanMADANI.

Ibu kepada enam orang anak itu berkongsi kepada Bernama pada Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI yang berlangsung di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil di Kuala Lumpur, bahawa beliau diminta membuat kesemua ukiran berkenaan oleh pihak KPKM semalam dan berjaya menyiapkannya dalam tempoh kurang 24 jam bersama seorang rakan, Muhammad Taufiq Mohd Halim, 33.

"Penglibatan lebih sedekad dalam bidang ukiran ini menjadikan saya mahir memilih saiz dan warna buah yang sesuai bagi menghasilkan seni ukiran yang lebih halus dan teliti persis potret sebenar individu," katanya.

Iswati berkata kesemua ukiran wajah itu menjadi penyeri di reruai KPKM dan sememangnya mendapat pujian daripada pengunjung.

Menurut Iswati, selain majlis rasmi beliau juga aktif mengambil tempahan ukiran sayur-sayuran dan buah-buahan bagi majlis hari jadi, perkahwinan dan pertunangan sekali gus menjana pendapatan sendiri.

Sementara itu, Muhammad Taufiq berkata saiz dan kualiti tembikai merupakan elemen penting dalam menghasilkan 'potret hidup'.

"Buah tembikai gred C atau D besar, isinya lebih merah dan cantik. Kulit tembikai yang agak gelap menjadi pilihan untuk menonjolkan ilustrasi potret," katanya.

Beliau yang juga tenaga pengajar bebas bagi seni ukiran turut aktif mengadakan latihan mengukir buah-buahan dan sayuran kepada komuniti seluruh negara dalam usaha menarik minat generasi baharu sebagai pelapis kesenian berkenaan.

Muhammad Taufiq berharap masyarakat memandang tinggi hasil kerja seni supaya karya ukiran berkenaan mampu pergi jauh setanding negara luar seperti Vietnam dan Thailand. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram