DI China, ketika mengadakan lawatan rasmi selama seminggu bermula 12 hingga 19 November 2023, Datuk Seri Fadillah Yusof membawa satu khabar baik buat sektor agrikomoditi negara.
Timbalan Perdana Menteri (TPM) memaklumkan bahawa Negara Tembok Besar itu mahu meningkatkan jumlah eksport sawit daripada 3.14 juta tan kepada 3.4 juta tan pada tahun depan.
Rasionalnya komitmen China itu penting kerana selain mempunyai pasaran dari segi populasi kira-kira 1.4 bilion, penduduk Beijing juga berperanan penting sebagai rakan dagang terbesar Malaysia sejak 14 tahun lepas.
“Saya kira ini satu misi yang amat berjaya. Apa sahaja yang kita bincang dan kemukakan, mereka sambut dengan baik dan komited untuk meningkatkan perdagangan dengan Malaysia,” kata Fadillah kepada media Malaysia pada akhir lawatan berkenaan.
Sebelum itu, pada Jun, Fadillah dengan portfolionya sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi, yang mengetuai misi bertemu penggubal undang-undang utama Kesatuan Eropah (EU), juga tidak pulang dengan tangan kosong.
Misi EU itu, secara kerjasama dengan Indonesia di bawah Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) berjaya mendapat jaminan lebih banyak penglibatan dengan EU sebelum penguatkuasaan Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) yang bertujuan untuk mengurangkan penebangan hutan global.
Apa yang diusahakan Ahli Parlimen Petra Jaya itu antara lain adalah bagi mempertahan serta melindungi kira-kira 250,000 pekebun kecil di negara ini kerana pelaksanaan EUDR akan lebih menjejaskan golongan tersebut berbanding syarikat besar.
Ahli Parlimen Petra Jaya ini memegang portfolio sebagai TPM serta Menteri Perladangan dan Komoditi.
Malah Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Mohamad Helmy Othman Basha menyifatkan naratif penanaman sawit perlu difahami semua termasuk generasi akan datang supaya imej industri minyak sawit tidak terjejas.
"Misi EU yang diketuai Fadillah baru-baru ini menunjukkan bahawa kita bersama Indonesia - sebagai dua negara pengeluar sawit terbesar di dunia menentang naratif dan kempen negatif," ujarnya.
Bukan sahaja dalam industri sawit, bahkan Fadillah yang kali pertama menerajui Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) mempamerkan prestasi cukup membanggakan dalam memperkasa tujuh lagi sektor agrikomoditi iaitu kayu-kayan, getah, koko, lada, kenaf, biobahan api dan biojisim.
Berkaitan sektor kayu-kayan, bekas Menteri Kanan Kerja Raya itu juga yakin Malaysia sebagai pengeluar dan pengeksport utama produk kayu mampu pergi jauh berdasarkan pencapaian semasa.
Nilai eksport kayu dan produk kayu katanya, dijangka mencapai RM28 bilion menjelang 2025 dan RM32.8 bilion menjelang 2030.
Industri perabot khususnya menunjukkan reputasi dari segi kualiti dan kekuatannya, sekali gus membolehkan Malaysia menjadi pengeksport global ke lebih 160 negara di seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat, Jepun dan China.
Selain perabot, produk seperti papan lapis, papan gentian, venir, pintu dan lantai kayu juga menunjukkan prestasi membanggakan dengan jumlah eksport bernilai RM25.21 bilion pada 2022 sekali gus menjadi hasil tertinggi direkodkan oleh industri kayu dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Pada masa sama, Ketua Whip Kerajaan Perpaduan itu menyatakan komitmen KPK untuk terus memelihara hutan bagi memastikan produk kayu diperoleh daripada hutan yang diurus secara mampan.
Lawatan Fadillah ke Program Penanaman Community Farming Syarikat Plus Intervest Sdn Bhd di Batu Kikir, Negeri Sembilan sempena Trek Komoditi Zon Tengah KPK.
Beralih ke sektor getah, Fadillah berpuas hati kerana ia kekal sebagai asas landskap perindustrian Malaysia apabila eksportnya mencecah RM36 bilion, membentuk 2.3 peratus daripada jumlah pendapatan eksport pada 2022.
Beliau namun berharap negara dapat melipatgandakan pengeluaran tempatan bagi memenuhi keperluan domestik terutama buat sektor pembuatan produk getah berasaskan lateks.
Justeru, Fadillah menggalakkan pekebun kecil beralih semula ke dalam industri berkenaan dengan didorong harga lantai yang sudah ditetapkan pada RM3 buat masa ini menerusi Belanjawan 2023.
Untuk jangka masa panjang, KPK akan meneroka potensi kerjasama dengan China khususnya membabitkan teknologi berasaskan getah yang boleh digunakan secara meluas dalam industri pembinaan yang dijangka bakal memanfaatkan lebih 262,000 pekebun getah ketika ini.
Selain itu, KPK juga akan meninjau pasaran baharu untuk meningkatkan eksport produk getah bukan sahaja ke pasaran utama seperti Amerika Syarikat dan Eropah, malah turut meliputi negara-negara berpopulasi tinggi dan berpotensi besar seperti India, Mexico, Brazil, Rusia, Afrika Selatan, Colombia, Poland Pakistan dan Turkiye.
Berkaitan koko pula, Fadillah juga berhasil memacu kejayaan dalam industri itu dengan jumlah pendapatan eksport koko negara mencecah RM4.364 bilion bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini.
Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu memberitahu, koko adalah tanaman komoditi ketiga terbesar penyumbang nilai eksport negara selepas kelapa sawit dan getah dengan sumbangan RM7.8 bilion kepada pendapatan eksport.
Fadillah (kanan, depan) melihat kebun getah milik pekebun kecil ketika menghadiri Sesi Sembang Warung di Kampung Charok Gorok, Baling, Kedah.
Beliau menyifatkan koko berpotensi dikembangkan di peringkat komuniti untuk menambah pendapatan rakyat dan negara tanpa bergantung kepada import luar.
Oleh itu, Penaung Sarawak Volunteers itu menyeru lebih ramai rakyat terutama di Bumi Kenyalang menceburi bidang penanaman komoditi tersebut.
Kejayaan Fadillah yang juga Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mengepalai KPK tidak terhenti di situ apabila industri lada juga menunjukkan prestasi membanggakan.
Jumlah nilai eksport lada Malaysia mencecah RM65.94 juta sehingga Jun tahun ini yang merupakan satu pencapaian cemerlang.
Pada masa ini, Malaysia adalah pengeluar lada kelima terbesar di dunia selepas Vietnam, Brazil, India dan Indonesia.
Malaysia juga berada di tempat kedua dari segi jumlah produk hiliran lada yang dihasilkan iaitu sebanyak 10 produk, berbanding India yang mempunyai kira-kira 40 produk hiliran berasaskan lada.
Sehubungan itu, KPK bekerjasama dengan pihak universiti dan pemain industri bagi meningkatkan pengeluaran lada tempatan menerusi inisiatif pertanian pintar dan internet pelbagai benda (IoT) untuk ‘precision farming’.
Fadillah semasa perasmian Koperasi Penanam Sawit Mampan Daerah Asajaya Berhad di Kampung Seruyuk, Sebuyau, Sarawak sempena program Trek Komoditi Zon Sarawak.
Industri kenaf tidak dilupakan apabila semakin diperkasakan agar terus berdaya saing bagi menjana pendapatan negara serta memberi manfaat kepada rakyat.
Kenaf berpotensi besar untuk dibangunkan sebagai salah satu sumber ekonomi baharu dalam bidang berasaskan pembinaan, automotif, biokomposit dan kesihatan.
Juga tidak ketinggalan industri biojisim meliputi kenaf dan sawit yang ada potensi bergerak jauh ke depan selaras kehendak global yang menekankan aspek alam sekitar, sosial dan tatakelola (ESG).
Sisa sawit seperti pelepah, tandan kosong dan daun misalnya antara lain boleh diubah menjadi karbon bernilai tinggi yang mempunyai ciri-ciri karbon teraktif serta nano karbon yang bersifat lebih mesra alam.
Pasukan penyelidik Universiti Malaya diketuai Pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Fakulti Kejuruteraan, Prof Madya Dr Shaifulazuar Rozali mengubah sisa sawit kepada bahan yang boleh digunakan dalam kehidupan seharian seiring dasar kerajaan yang mempromosikan usaha menukar bahan buangan biojisim kepada bahan bernilai tinggi.
"Matlamat penyelidikan kami untuk mencari kaedah terbaik menghasilkan bahan karbon ini dengan kos lebih rendah kerana ia boleh mencecah RM5,000 sekilogram.
"Jika ia dapat direalisasikan dengan menggunakan bahan mentah sedia ada seperti sisa sawit, kami pasti Malaysia berupaya menjadi pengeluar utama karbon ini pada masa akan datang," katanya.
Fadillah (tengah, depan) bersama kakitangan agensi di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi.
Malaysia juga berpotensi tinggi memanfaatkan biotenaga daripada produk biobahan api berasaskan sawit dengan kajian terhadapnya sedang dijalankan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Universiti Tsinghua di China.
Fadillah berkata, MPOB juga bekerjasama dengan enam universiti tempatan berkaitan kajian percubaan enjin diesel dengan menggunakan adunan biodiesel B30.
Selain itu, penggunaan minyak masak terpakai sebagai bahan mentah untuk pengeluaran biobahan api penerbangan mampan (SAF) di Malaysia juga dalam peringkat penyelidikan antara MPOB dan Petronas ketika ini.
Inisiatif mengitar semula minyak masak terpakai dan bahan buangan sawit amat bertepatan dengan salah satu konsep Ekonomi Madani yang menggalakkan pertumbuhan teknologi hijau.
Melihat kepada prestasi kelapan-lapan sektor agrikomoditi tersebut, dapat disimpulkan bahawa peranan Fadillah menerajui KPK berhasil meletakkan kementerian itu sebagai sebuah komponen yang amat penting dalam pemerkasaan ekonomi negara dalam jangka panjang.
Selain daripada sumbangan perolehan eksport berjumlah RM117 bilion setakat 30 September lalu, sektor agrikomoditi juga berhasil menyediakan pekerjaan kepada hampir 431,000 orang pekerja, tidak termasuk pekebun kecil persendirian dan tersusun yang dianggarkan berjumlah 728,000 orang.
Gambaran tersebut merumuskan bahawa secara keseluruhan sektor agrikomoditi adalah penting dan signifikan kepada pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram