Iktiraf sumbangan agrikomoditi


  • Bizz
  • Khamis, 30 Nov 2023

Fadillah (kanan, depan) melihat kebun getah milik pekebun kecil ketika menghadiri Sesi Sembang Warung di Kampung Charok Gorok, Baling.

PENGANJURAN Hari Agrikomoditi Negara (HAKN) 2023 oleh Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) yang akan berlangsung pada 5 Disember ini bertujuan memberi pengiktirafan kepada semua pihak terlibat dalam sektor agrikomoditi peringkat akar umbi.

Bertemakan ‘Memacu Kemampanan Agrikomoditi Negara’, program itu juga akan menjadi platform utama perkongsian maklumat dan penjanaan pelbagai idea baharu dalam sektor agrikomoditi negara, selain mempromosikan peluang pekerjaan, perluasan kerjaya dan perniagaan.

Sebagai kementerian yang bertanggungjawab mengawal selia agrikomoditi utama seperti sawit, getah, kayu-kayan, koko, lada dan kenaf pihak kementerian melihat terdapat keperluan untuk mengetengahkan sektor agrikomoditi secara meluas kepada masyarakat kerana ia termasuk dalam pembangunan ekonomi dan menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Justeru, penganjuran HAKN juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan umum terhadap sektor agrikomoditi negara sebagai usaha mengubah perspektif lebih positif terhadap sektor itu.

Terdapat pelbagai acara akan diadakan sempena sambutan HAKN termasuklah penyampaian Anugerah Agrikomoditi Negara kepada enam sektor agrikomoditi merangkumi sektor sawit, getah, kayu-kayan, koko, lada dan kenaf.

AKM_7229

Fadillah (tengah) melihat koko yang dikeringkan ketika program Majlis Ramah Mesra bersama Penanam Koko Kedah dan Perlis.

Anugerah tersebut memberi pengiktirafan kepada semua pihak yang memberi sumbangan dalam sektor agrikomoditi negara. Selain itu, program Malaysia International Commodity Conference & Showcase (MICCOS) juga akan dilaksanakan pada 2024 sebagai signatur acara KPK sempena HAKN.

MICCOS 2024 bakal menghimpunkan pihak industri, penyelidik, pekebun kecil, pelajar dan orang ramai dengan tujuan memberi pendedahan tentang sektor agrikomoditi.

Pelaksanaan HAKN secara keseluruhannya mempunyai tiga kumpulan sasaran yang dirangka bagi memenuhi tuntutan kelompok-kelompok tertentu dalam konteks agenda memperkukuhkan visibility sektor agrikomoditi.

Pertama ialah kumpulan pemain industri bagi sektor huluan, pertengahan dan hiliran. Mereka akan mengetengahkan pameran, persidangan dan sesi rangkaian perniagaan sebagai medium untuk mewujudkan akses pasaran produk atau perkhidmatan usahawan kepada pemborong, pengedar dan pembeli.

Seterusnya, buat golongan belia menerusi pameran dan ekspo sebagai medium memupuk kesedaran mengenai peluang yang luas bagi pengajian tertiari dan kerjaya dalam sektor agrikomoditi.

WhatsApp Image 2023-11-27 at 15.53.32

Sektor agrikomoditi terdiri daripada lapan komoditi iaitu sawit, getah, kayu-kayan, koko, lada, kenaf, biobahan api dan biojisim.

Ketiga pula melibatkan komuniti setempat melalui program seperti Trek Komoditi mengikut zon. Ia mempunyai rangkaian aktiviti khusus untuk komuniti dan masyarakat menguar-uarkan kemudahan dan insentif disediakan pihak KPK dan agensi berkaitan dalam membantu perkembangan sektor agrikomoditi baik di bandar mahupun luar bandar.

Secara umum, sektor agrikomoditi terdiri daripada lapan komoditi iaitu sawit, getah, kayu-kayan, koko, lada, kenaf, biobahan api dan biojisim.

Kementerian melalui Dasar Agrikomoditi Negara 2021- 2030 (DAKN2030) telah mengenal pasti produktiviti sebagai salah satu daripada lima teras dasar yang perlu diberi keutamaan.

DAKN2030 menggariskan bahawa produktiviti boleh ditingkatkan melalui penyelidikan, pembangunan, komersialisasi dan inovasi (R&D&C&I) dan penerimagunaan teknologi.

Majlis Pelancaran HAKN yang dijadualkan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya akan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Dalam perkembangan berkaitan sempena HAKN juga akan diadakan acara larian yang dibuka penyertaannya untuk orang awam pada 9 Disember 2023 (Sabtu). Ia sebagai usaha pihak KPK memberi pendedahan kepada masyarakat berkaitan sektor agrikomoditi menerusi platform sukan.

AKM_5585

Fadillah melihat getah sekerap semasa meninjau ladang getah, di Kampung Kuala Sawah, Rantau, Seremban, Negeri Sembilan.

Getah sumbang RM2.6 bilion pada 2023

DASAR Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN2030) telah menggariskan hala tuju pembangunan industri agrikomoditi negara merangkumi lapan sektor komoditi utama.

Kesemua sektor komoditi utama itu menyumbang kepada Pembangunan sosioekonomi sejak sedekad lalu apabila telah menjana sumber pendapatan kepada hampir 1.3 juta pekebun kecil, sekali gus membuka peluang pekerjaan kepada hampir sejuta rakyat tempatan.

Malah, sumbangan industri agrikomoditi kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada 2023 sahaja mencecah nilai RM18.5 bilion dengan getah menjadi antara penyumbang utama sebanyak RM2.6 bilion atau 14.1 peratus, selain kelapa sawit dan kayu-kayan.

Malaysia telah bekerjasama dengan negara-negara pengeluar getah utama dunia di bawah kerangka International Tripartite Rubber Council (ITRC) dan The Association of Natural Rubber Producing Countries (ANRPC) dalam menstabilkan harga getah melalui langkah pengurusan bekalan dan meningkatkan penggunaan getah asli dalam kalangan negara-negara pengeluar.

Pengenalan Mekanisme Harga Getah untuk Kesinambungan Hidup Pekebun Kecil (Livelihood Rubber Price Mechanism) peringkat antarabangsa juga dalam fasa cadangan bagi memberikan lebih manfaat kepada pekebun kecil.

Usaha itu adalah untuk memastikan harga getah asli berada dalam julat harga telah ditetapkan bagi mengurangkan ketidaktentuan harga getah dunia.

Selain itu, dalam usaha membantu pekebun kecil getah yang terjejas, pemberian Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) telah dilaksanakan melalui Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

AKM_7017

Fadillah menunjukkan bakat menoreh getah ketika turun padang menyantuni lebih 150 pekebun kecil getah semasa sesi Sembang Getah Warung di Kampung Charok Gorok, Baling, Kedah.

Kerajaan melalui RISDA juga memperuntukkan RM256 juta bagi 2023 untuk BMT yang akan memberi manfaat kepada 320,000 pekebun kecil seluruh negara.

Kementerian juga melalui Lembaga Getah Malaysia (LGM) melaksanakan dua program utama bagi membantu pekebun kecil mengurangkan kesan ketidaktentuan kejatuhan dan ketidakstabilan harga serta insentif menggalakkan pengeluaran lateks yang bantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil.

Pertama ialah Insentif Pengeluaran Getah (IPG). Kerajaan dalam Bajet 2024 bersetuju menaikkan kadar Paras Harga Pengaktifan (PHP) bagi IPG dari RM2.70 ke RM3.00 sekilogram dengan peruntukan sebanyak RM400 juta.

Sejak pelaksanaannya dari 2015, kadar IPG telah disemak dan dinaikkan sebanyak enam kali daripada RM1.75 kepada RM3.00. Untuk makluman, hingga Oktober 2023, pemberian IPG telah memberi manfaat kepada 219,429 pekebun kecil dengan pembayaran berjumlah RM481.24 juta.

Kedua, pelaksanaan Insentif Pengeluaran Lateks Model Baharu (IPL) diwujudkan bertujuan menggalakkan pekebun kecil menghasilkan lateks yang memberikan pendapatan lebih baik berbanding penghasilan cuplump. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram