Pembangunan teknologi AI mampu bantu pekebun kecil — Fadillah


  • Primer
  • Khamis, 19 Okt 2023

Pembangunan teknologi AI yang mampu bantu pekebun kecil meningkatkan pendapatan. — UTHM

KERAJAAN memberi fokus kepada pembangunan teknologi kecerdasan buatan (AI) mampu milik untuk industri perladangan dan komoditi bagi membantu pekebun kecil meningkatkan pendapatan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, ia merupakan antara fokus kerajaan ke arah automasi dan mekanisasi dalam bidang perladangan, dengan mempertimbangkan kemampuan golongan sasar beradaptasi dengan teknologi itu.

"Kita sudah menggunakan teknologi dron untuk penyemburan baja dan racun, tapi untuk kaedah penuaian kita masih menghadap cabaran, jadi kita fokus untuk bangunkan robot dengan kemajuan AI yang akan mengenal pasti buah-buah yang cukup matang untuk dipetik dan mungkin juga proses prunning (pemangkasan).

"Sekarang banyak syarikat-syarikat besar berkaitan sudah menggunakan teknologi ini dan mendapat manfaat dari segi insentif cukai,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Majlis Pensijilan Minyak Sawit (MPOCC) dan Perbadanan Pembangunan Halal (HDC) di Putrajaya pada Khamis.

Screenshot (504)

Fadillah Yusof ketika Fadillah ketika sidang media selepas majlis menandatangani MoU antara MPOCC dengan HDC di Putrajaya pada Khamis. — Bernama

Katanya, penggunaan teknologi AI akan mengurangkan kebergantungan terhadap buruh asing dan buruh kasar dalam industri perladangan dan komoditi.

Beliau berkata, penggunaan AI dengan kos operasi berpatutan akan membantu pengusaha kebun yang sudah berumur dan kurang berada di lapangan untuk mengeluarkan hasil.

Mengenai kerjasama antara MPOCC dan HDC, Fadillah berkata, ia bertujuan untuk saling bertukar maklumat serta meneroka peluang dan inisiatif baharu berkaitan kemampanan dalam industri minyak sawit dan ekosistem halal.

Pada 2022, katanya, nilai eksport halal Malaysia mencecah RM59.4 bilion iaitu 4.7 peratus atau RM2.8 bilion adalah produk berasaskan sawit.

"Sementara bagi sektor ramuan halal yang 70 peratus berasaskan sawit telah meningkat 73.1 peratus kepada RM23.35 billion pada tahun sama,” tambahnya.

HDC merupakan peneraju pembangunan bersepadu dan ekosistem halal negara, manakala MPOCC bertanggungjawab mengendalikan Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO). — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram