Pacu kemampanan agrikomoditi kekal progresif


  • Primer
  • Khamis, 14 Dis 2023

Fadillah berkata, sektor agrikomoditi adalah tunjang utama pertubuhan ekonomi negara sejak sekian lama.

BUAT julung kalinya, Hari Agrikomoditi Negara (HAKN) 2023 dianjurkan untuk mengiktiraf dan menghargai jasa rakyat Malaysia yang terlibat dalam aktiviti membangunkan sektor agrikomoditi di peringkat dan seluruh rantaian nilai.

Bertemakan ‘Memacu Kemampanan Agrikomoditi Negara’, HAKN 2023 dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi (KPK), Datuk Seri Fadillah Yusof di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya pada 5 Disember lalu.

Selain itu, ia turut mewujudkan platform perkongsian maklumat dan pencambahan idea baharu dalam kalangan semua pihak berkepentingan dalam sektor agrikomoditi negara.

Sambutan HAKN inisiatif KPK itu selaras dengan Ekonomi Madani dalam meneruskan aspirasi kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan rakyat melalui aktiviti pembangunan produk berkaitan sektor agrikomoditi agar kekal progresif, mampan, berdaya saing dan inklusif.

WhatsApp Image 2023-12-07 at 11.33.49 (2)

Fadillah (tiga dari kiri) melancarkan sambutan HAKN 2023 di PICC Putrajaya pada 5 Disember lalu.

Menurut Fadillah sektor agrikomoditi adalah tunjang utama pertubuhan ekonomi negara sejak sekian lama dan kekal relevan hingga hari ini serta menjadi aktiviti ekonomi bagi sebahagian rakyat Malaysia.

Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) misalnya, membuktikan komitmen meningkatkan taraf hidup dan membasmi kemiskinan menerusi program tanaman sawit dan getah di bawah program pembangunan agensi berkenaan.

“Sektor agrikomoditi memainkan peranan yang cukup besar dan penting buat negara. Sehingga September lalu, sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dianggarkan RM60 bilion.

“Bagi nilai eksport pula ia mencecah nilai hampir RM118 bilion. Walaupun berdepan pelbagai cabaran peringkat global seperti pertumbuhan diunjur berkembang tiga peratus sahaja, kenaikan kadar faedah oleh negara tertentu, tetapi ia tidak menjejaskan sektor ini dari segi eksport,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Hari Agrikomoditi Negara di Putrajaya.

Tambah beliau, pihak kerajaan akan memastikan sektor perladangan dan komoditi tidak akan terjejas dengan peraturan-peraturan yang sedia ada dan bakal diperkenalkan di peringkat global khususnya penyahhutanan Kesatuan Eropah (EU).

Beliau memaklumkan antara peraturan tersebut adalah larangan membuka ladang baharu untuk penanaman komoditi seperti kelapa sawit, koko, kopi dan getah, selain aktiviti Orang Asli yang bercucuk tanam secara berpindah-randah.

Fadillah berkata, sebagai negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Malaysia akan berpandukan kepada prinsip alam sekitar, sosial, dan urus tadbir (ESG) terutamanya dalam pembasmian kemiskinan.

“Asas dalam sektor agrikomoditi kita berpegang kepada UNSDG (Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu). Artikel pertama dalam UNSDG adalah pembasmian kemiskinan.

“Antara usaha membasmi kemiskinan adalah melalui sektor perladangan dan agrikomoditi seperti pembukaan tanah untuk aktiviti bercucuk tanam dan sebagainya seperti mana kita mewujudkan tanah rancangan Felda,” jelasnya lanjut.

WhatsApp Image 2023-12-07 at 11.33.49

Tokoh Industri Perkayuan dan Perhutanan dianugerahkan kepada Freezailah sempena HAKN 2023.

Fadillah dalam pada itu memberitahu, pihak kementerian juga perlu berbincang dari semua sudut untuk mencari jalan bagi meningkatkan pengeluaran rangkaian produktiviti produk hiliran dengan lebih berkualiti.

Menurutnya, sebelum ini beliau pernah mengadakan lawatan ke sebuah agensi pusat penyelidikan di Beijing, China dalam menyelesaikan masalah industri hiliran sawit dengan mengeluarkan minyak sawit merah untuk memenuhi keperluan di negara berkenaan.

EUDR misalnya tidak menebang hutan baharu bermula 2020 bagi penanaman agrokomoditi jelas merupakan sekatan kepada perkembangan sektor berkenaan.

Anugerah Agrikomoditi Negara

Dalam perkembangan berkaitan pada majlis tersebut, Fadillah turut menyampaikan Anugerah Agrikomoditi Negara kepada enam sektor merangkumi sawit, getah, kayu-kayan, koko, lada dan kenaf.

Selain Anugerah Agrikomoditi Negara itu, majlis turut menyaksikan penganugerahan Tokoh Industri Perkayuan dan Perhutanan kepada Datuk Dr. Freezailah Che Yeom, individu berpengalaman luas sejak 60 tahun lalu dalam industri perkayuan negara.

WhatsApp Image 2023-12-07 at 11.33.50

Manggie penerima Anugerah Pekebun Lada Kecil Terbaik.

Bagi penerima Anugerah Pekebun Lada Kecil Terbaik, Manggie Agam, 49, memaklumkan bahawa anugerah berkenaan adalah satu pengiktirafan buat dirinya yang telah menceburkan diri dalam bidang berkenaan sejak berusia 16 tahun.

“Saya bermula dengan 1,000 pokok dan kini jumlahnya bertambah lebih 2,000 pokok dengan setiap batang pokok boleh menghasilkan purata 5 kilogram (kg) di kawasan seluas dua hektar di Betong, Sarawak.

“Menerusi Amalan Pertanian Baik (GAP) dan penjagaan kebun yang teliti pada tahun lalu hasil purata diperoleh amat mengagumkan iaitu 10 tan metrik sehektar,” katanya ketika ditemui Majoriti.

Bicara Manggie, anugerah yang diterima secara tidak langsung menyuntik motivasi buat dirinya untuk menjadi pekebun yang lebih berjaya dan berhasrat menaikkan jumlah pokok lada kepada 3,000 pokok.

WhatsApp Image 2023-12-07 at 11.33.49 (3)

Michael penerima Anugerah Inovasi Petani Koko 2023 Wilayah Sarawak.

Sementara itu, pekebun koko Michael John Henry Tao pula dinobatkan sebagai penerima Anugerah Inovasi Petani Koko 2023 bagi Wilayah Sarawak selepas menghasilkan mesin pembelah buah koko.

Mesin berkenaan dapat mempercepatkan kerja membelah 60 pod buah koko dalam masa seminit berbanding 12 pod koko secara manual.

“Saya mula berkecimpung dalam tanaman koko pada 2014 dan mendapat ilham mencipta mesin sekitar 2015 memandangkan saya kurang berkemahiran dalam proses membelah koko secara manual.

“Selepas beberapa kali mencuba mereka mesin akhirnya pada 2017 terhasil mesin sedia ada sekarang. Setakat ini, mesin berkenaan bukan sahaja digunakan oleh saya, malah turut dijual kepada sembilan lagi usahawan koko,” ujarnya dalam nada teruja.

Jelas Michael John, sebanyak enam mesin lagi sedang disiapkan selepas ditempah oleh Koperasi Kluster Koko Sarawak Berhad. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram