Sektor agrikomoditi alami lonjakan


  • Bizz
  • Khamis, 21 Dis 2023

Fadillah (kiri) bersama Naib Premier Ding Xuexiang ketika lawatan rasmi ke China pada November lalu.

DALAM tempoh setahun pelbagai kejayaan tangkas dan cemerlang dicapai Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) di bawah kemudi Datuk Seri Fadillah Yusof sejak Disember 2022. Satu persatu kejayaan diraih itu secara tidak langsung menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara terutamanya sektor agrikomoditi.

Secara keseluruhan sehingga November 2023, program-program yang disusun telah mencapai sasaran ditetapkan. Malah, di bawah pimpinan Fadillah merangkap Timbalan Perdana Menteri terdapat nilai tambah terhasil menerusi program dilaksanakan sepanjang tahun ini.

Menurut beliau, salah satunya adalah menerusi prestasi pencapaian nilai eksport sektor agrikomoditi.

“Direkodkan sehingga September 2023 nilai eksport sektor agrikomoditi merangkumi sektor sawit, getah, kayu-kayan, koko, tembakau dan lada adalah sebanyak RM117.2 bilion.

“Misalnya, November lalu dalam usaha meningkatkan eksport Malaysia ke China, satu mesyuarat strategik meja bulat telah dianjurkan dengan pemegang taruh industri minyak dan lelemak bagi misi ekonomi dan teknikal.

“Semasa misi itu sebuah kilang penapis minyak sawit, Grand Oils & Fats (Dongguan) Co. Ltd. berpangkalan di Dongguan telah dianugerahkan persijilan MSPO oleh MPOCC.

"Ini merupakan satu pencapaian membanggakan bagi industri minyak sawit Malaysia dalam usaha mempromosi dan pengiktirafan skim persijilan MSPO di pasaran global,” jelas Fadillah yang turut memaklumkan bahawa seramai 9,760 tenaga kerja mahir dalam sektor agrikomoditi telah dibangunkan.

Jelas beliau lagi, “Pihak kementerian akan terus komited mempertingkatkan kerjasama global dan hubungan diplomasi serantau bagi memperkukuhkan eksport agrikomoditi untuk manfaat negara dan rakyat.”

Selain memperkukuhkan nilai eksport agrikomoditi pencapaian KPK juga diukur dari segi pembangunan industri agrikomoditi yang mampan.

Buktinya, keluasan tanaman sawit dipersijilkan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) sebanyak 94.89 peratus dan peningkatan enam persijilan baharu Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS) bagi Unit Pengurusan Hutan (FMU) hingga 31 Oktober 2023.

Bukan itu sahaja, pihak kerajaan juga telah menaikkan Paras Harga Pengaktifan (PHP) Insentif Pengeluaran Getah (IPG) daripada RM2.50 kepada RM2.70 sekilogram dengan peruntukan berjumlah RM350 juta bagi membantu pekebun kecil yang terbabit dalam sektor getah.

2411696

Fadillah (kiri) ketika mengunjungi Kilang Hwah Yang Agro Industries Sdn. Bhd. di Serian, Sarawak yang memproses dan mengeluarkan Standard Malaysian Rubber 10 dan 20.

Bagi 2023 diunjurkan pengeluaran pembayaran IPG adalah berjumlah RM28.23 juta dan memberi manfaat kepada 230,000 pekebun kecil.

Dalam pada itu, Fadillah turut menzahirkan idea menganjurkan Program Trek Komoditi KPK 2023 bertujuan menterjemahkan komitmen padu pihak kementerian dan agensi di bawahnya bagi menjamin kesejahteraan pekebun kecil di lapangan.

Bertemakan ‘Memacu Kemampanan Komoditi Negara Demi Kesejahteraan Rakyat’ program tersebut menjadi medium turun padang Fadillah bersama pihak pengurusan tertinggi kementerian menyantuni pekebun kecil dan pemain industri sektor komoditi.

Program Trek Komoditi 2023 telah dirasmikan di lokasi pokok getah pertama di Tanah Melayu bertempat di Kuala Kangsar, Perak. Selain Zon Utara (Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis) pada Jun lalu, siri jelajah Program Trek Komoditi juga diadakan di Negeri Sembilan dan Selangor (Zon Tengah) pada 5 dan 6 Ogos dan Sarawak (25 dan 26 November 2023).

Teknologi moden

Selain domestik, KPK juga berjaya mencapai kesepakatan dan usaha sama dengan negara-negara luar.

“Pihak kementerian telah mengadakan engagement dengan Kesatuan Eropah (EU), penubuhan Joint Task Force (JTF) berkaitan Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) melibatkan KPK Malaysia, Kementerian Koordinator Bidang Perekonomian Indonesia dan Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) di Brussels, Belgium pada Mei lalu.

“Penubuhan JTF EUDR merupakan satu titik penting kepada kerajaan Malaysia sebagai mekanisme rundingan, koordinasi dan platform bagi Malaysia, Indonesia dan EU untuk mengetengahkan permasalahan dan cadangan penyelesaian pelaksanaan EUDR,” jelas Fadillah.

Dalam pada itu, seiring kemajuan teknologi hari ini KPK turut menerapkan elemen moden dalam sektor agrikomoditi. Usaha itu membantu membawa perubahan pengurusan rantaian bekalan yang boleh meningkatkan ketelusan dan kebolehkesanan serta memastikan integriti produk dari ladang kepada pengguna.

Pengenalan teknologi moden berasaskan Revolusi Industri Keempat (IR 4.0) kepada sektor perladangan terutamanya kelapa sawit dan getah merupakan lonjakan ke hadapan dalam pemodenan dan pengoptimuman amalan pertanian.

Penyepaduan teknologi termaju seperti Internet of Things (IoT), kecerdasan buatan (AI), analisis data besar dan automasi perladangan pula merupakan inisiatif untuk meningkatkan kecekapan, produktiviti dan kemampanan dalam sektor agrikomoditi.

Penyepaduan teknologi IR4.0 dalam sektor agrikomoditi adalah penting menjadikannya lebih mampan, cekap dan berdaya tahan bagi menghadapi cabaran semasa seperti perubahan iklim dan turun naik pasaran.

Sehubungan itu, bagi 2024 pihak kerajaan memperuntukkan sebanyak RM30 juta dalam usaha menggalakkan penggunaan teknologi automasi, mekanisasi dan elemen-elemen IR4.0 untuk sektor agrikomoditi.

INFO

Antara pembaharuan diperkenalkan

Sektor sawit

- Program Insentif Tanam Semula Sawit

- Kajian penstrukturan semula sistem percukaian industri sawit

Sektor getah

- Kenaikan PHP Insentif Pengeluaran Getah (IPG) daripada RM2.50 kepada RM2.70 sekilogram. Setelah mendengar keluhan para pekebun getah, kerajaan bersetuju menaikkan paras harga pengaktifan IPG daripada RM2.70 kepada RM3 sekilogram

- Peningkatan hasil pengeluaran getah melalui penggunaan gas stimulan (projek rintis)

- Syarikat tujuan khas (SPV)

Sektor kayu-kayan

- Pemerkasaan perkhidmatan persijilan produk kayu bagi pengukuhan pasaran

- Program Pembangunan Ladang Hutan 2.0

L1350061

Fadillah melawat kebun lada milik Nugi anak Suoi di Kampung Begu, Padawan pada 26 November lepas.

Sektor koko

- Pemulihan kebun koko di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak

- Pembangunan Piawaian Koko Premium Malaysia (MSPC)

- Projek kerjasama pembangunan tanaman integrasi koko di Madai

Sektor lada

- Program Pembangunan Huluan Industri Lada

- Pembangunan pengeluaran lada premium

- Menaik taraf kemudahan pemprosesan Lembaga Lada Malaysia di Lembaga Lada Malaysia (MPB) Kuching dan Sarikei, Sarawak

Sektor kenaf

- Pembangunan rantaian pengeluaran kenaf di Sabah dan Sarawak

- Program ladang kluster komersial — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram