[VIDEO] Penggali kubur pertama kali jumpa, liang lahad juruterbang pesawat terhempas nampak cantik seperti pelangi


  • Tular
  • Selasa, 22 Ogos 2023

Tangkap layar keadaan liang lahad Allahyarham Shahrul Kamal Roslan yang dikatakan cantik seperti pelangi dan kini tular di media sosial.

CANTIK seperti pelangi. Demikian keindahan kubur dengan lapisan tanah pelbagai warna milik Allahyarham Shahrul Kamal Roslan, 42, yang disifatkan cantik menyerupai pelangi oleh seorang penggali kubur di laman TikTok.

Menerusi perkongsian penggali kubur @Thejaws di TikTok, dia berkata, ia merupakan pengalaman kali pertama sejak bekerja sebagai penggali kubur.

“Setakat ni hampir setiap minggu ada kematian, kadang dua hingga tiga lubang kena gali seminggu dan ini adalah pengalaman pertama di sini,” katanya.

Allahyarham merupakan salah seorang mangsa nahas pesawat Beechcraft Model 390 di Persiaran Elmina, Shah Alam, Khamis minggu lepas, yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Klang Gates, Hulu Klang, Selangor pada Ahad.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan empat anak lelaki berumur 3 hingga 12 tahun.

Menerusi video sama, Thejaws turut berkongsi pemandangan dari dalam kubur tersebut.

“Bagi yang teruja dengan keindahan pelangi, kita saksikan pandangan dari dalam lubang kuburnya. Memang berlapis-lapis macam ni coklat sikit, merah, hitam, kekuningan, hijau sikit dan membawa ke kuning.

“Ada lapan warna berbeza. Inilah kubur jenazah kapten kapal terbang Elmina tu. Luas dan lebar. Cantikkan? Seolah-olah warna pelangi,” ujarnya.

Video itu yang tular di media sosial meraih sebanyak 500,000 tontonan sejak ia dimuat naik pada Isnin. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram