NAMA 'Oyen" sekali lagi mencuri hati rakyat negara selepas seekor kucing berwarna jingga itu turut menjadi mangsa nahas pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Lebuhraya Guthrie, berhampiran Bandar Elmina Shah Alam, pada Khamis.
Kucing berkenaan ditemui oleh pasukan penyelamat dalam keadaan cedera pada bahagian badan.
Menerusi perkongsian di laman Instagram, seorang doktor veterinar dikenali sebagai Zulerwan memaklumkan bahawa kucing tersebut ditemui oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM).
“Oyen ini ada di kawasan kejadian sewaktu kapal terbang terhempas di Elmina.
“Terima kasih team ambulans KKM kerana turut menyelamatkan Oyen,” tulis doktor terbabit.
Pada hantaran sama, dia turut berkongsi beberapa keping gambar dan video yang memaparkan kecederaan yang dialami kucing tersebut dan keadaan selepas diberi rawatan.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya mendoakan kesihatan kucing berkenaan.
"Cepat sihat okay Oyen? Kami sayang kamu!" kata Shzlynnn.
Seorang lagi pengguna, Affhrhimi, menulis: "ALLAH, terima kasih KKM kerana menjaga Oyen juga. Semoga cepat sembuh, Oyen!"
Sementara itu, memetik laporan media portal tempatan, Zulerwan memaklumkan, kucing jantan berkenaan mengalami kecederaan di bahagian perut sepanjang 15 sentimeter akibat insiden berkenaan.
Dia turut memaklumkan keadaan Oyen juga stabil dan masih diberikan rawatan oleh klinik berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram